mutakhir

Ujian menimpa di bumi anbia

Kota Bharu: Terpilih untuk menyambung pengajian di Mesir dianggap satu rahmat buatnya, namun seorang pelajar dari bandar ini tidak menyangka sama sekali apabila perjalanannya ke bumi anbia itu diuji.

Muaz Halim, 19, yang melapor diri mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Syariah di Universiti Al-Azhar hampir sahaja menjadi mangsa konflik rampasan kuasa di Turki apabila penerbangan Turkish Airlines dinaiki, Jumaat lalu dilarang berlepas ke Kaherah.

Dia bersama 59 penuntut tajaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan pegawai pengiring terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ensenboga di Ankara, Turki lebih 24 jam sebelum penerbangan mereka dijadual semula susulan pembukaan ruang udara negara itu.

Penerbangan mereka berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Atartuk, Istanbul jam 1 pagi kelmarin waktu tempatan (Malaysia) dan tiba di Kaherah dua jam kemudian disambut wakil Kedutaan Malaysia di Kaherah dan pegawai pengurusan pelajar.

Meskipun sudah berada di zon selamat, pengalaman berdepan konflik itu sedikit sebanyak menimbulkan kerisauan di hati anak kelahiran Kampung Dusun, di sini.

“Mengenang kejadian itu membuatkan saya bimbang. Terdetik di hati saya apa yang akan jadi sekiranya konflik sebegitu berlaku berhampiran dengan tempat pengajian ini.

“Negara Timur Tengah juga ada krisis politik mereka tersendiri. Isu keselamatan memang menjadi persoalan saya, tapi menuntut ilmu lebih diutamakan. Saya mahu habiskan pengajian empat tahun di sini dan pulang tanpa masalah.

“Untuk itu, saya hanya boleh bergantung kepada Allah SWT sahaja, supaya dipermudahkan segala urusan dan sentiasa dalam lindungan-Nya,” katanya ketika dihubungi menerusi aplikasi Whatsapp, di sini, semalam.

Mengimbas senario ketika terkandas di lapangan terbang itu, Muaz berkata, dia tidak mendengar bunyi tembakan atau letupan, namun menyaksikan ramai polis berkawal di kawasan berkenaan.

Disiarkan pada: July 20, 2016 @ 10:24am
d