mutakhir

Inovasi tanam padi

Oleh Nur Izzati Mohamad

Tasek Gelugor: Menyedari kesukaran petani sebelum ini melaksanakan kerja penanaman padi mendorong sekumpulan pegawai Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Pokok Sena, di sini, menjalankan projek reka cipta dan inovasi sejak beberapa tahun lalu.

Menariknya, projek reka cipta dan inovasi yang dihasilkan mula mendapat perhatian dan dikomersialkan untuk kegunaan petani di seluruh negara.

Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Pulau Pinang, Azhari Md Isa, berkata pelbagai projek yang dilakukan dengan mereka cipta peralatan dan teknologi untuk aktiviti penanaman padi sebelum ini hanya untuk kegunaan petani di kawasan ini saja.

Bagaimanapun, beliau berkata, dua alatan yang dicipta dinamakan ‘Box Leveller’ iaitu alat meratakan tanah dan ‘Felese’ yang digunakan untuk menurunkan kerugian pembaziran benih padi kini sudah mula berada di pasaran.

“Selama ini, pihak LPP di bawah PPN ini sudah banyak berkecimpung dalam bidang reka cipta dan inovasi dalam mencari peralatan terbaik untuk membantu sektor pertanian di negeri ini.

“Namun, semuanya tidak dapat dikomersialkan dan hanya digunakan petani dalam kawasan ini saja, tetapi dengan kerja keras yang dilakukan membuahkan hasil apabila dua alatan yang direka cipta pada 2009 dan tahun lalu berada di pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang mengadakan lawatan kerja ke Pusat Kecemerlangan Kejenteraan Ladang PPN, di sini, semalam.

Dalam lawatan lebih satu jam itu, Ahmad Shabery mendengar taklimat dan meninjau peralatan kejenteraan yang digunakan PPN berkenaan dalam menyelesaikan masalah petani sekali gus meningkatkan hasil tanaman padi.

Azhari berkata, 430 mesin perataan tanah yang direka cipta PPN kawasan itu terjual di seluruh negara ini sejak ia diperkenalkan pada 2009.

“Mesin perataan tanah ini berfungsi untuk meratakan tanah bagi memastikan petak sawah berada dalam paras sama bagi membolehkan benih padi mendapat cahaya yang sempurna untuk pertumbuhan padi,” katanya.

Disiarkan pada: July 20, 2016 @ 10:30am
d