mutakhir

Yuran melampau

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Kementerian Pendidikan memantau isu yuran melampau yang dikenakan segelintir tadika swasta di negara ini, kata Timbalan Menterinya Datuk P Kamalanathan.

Beliau berkata, pihaknya sudah sedia maklum mengenai isu berkenaan namun, semua pihak perlu tahu setiap tadika swasta mempunyai konsep perniagaan yang berbeza dengan tadika yang dikendalikan kerajaan.

Bagaimanapun, katanya, keputusan menghantar anak ke tadika swasta tertentu terletak kepada kuasa ibu bapa.

“Kami mengawasi isu berkenaan dan jika ia dilihat keterlaluan, ibu bapa boleh memaklumkan kepada pihak kementerian untuk tindakan selanjutnya.

“Tadika swasta tidak boleh sewenang-wenangnya menaikkan yuran kerana mereka perlu mematuhi kaedah dan syarat yang sudah ditetapkan kementerian,” katanya selepas melancarkan Zon Permainan Kanak-Kanak di Forum Dasar Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Rantau Asia Pasifik 2016 (APFEC 2016) di sini semalam.

Katanya, kementerian boleh menyiasat isu kenaikan yuran berkenaan sekiranya menerima aduan daripada ibu bapa.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Kamalanathan berkata, kementerian perlu melihat hasil dan keberkesanan projek inovasi aplikasi Pepatih MySekolah terlebih dahulu sebelum membuat keputusan sama ada ia boleh dilaksanakan di seluruh negara.

Menurutnya, buat masa ini, sistem pengesahan kehadiran menggunakan cap jari dan notifikasi kehadiran sekolah itu diguna pakai di empat sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Muda di Sentul, SMK Dato’ Ibrahim Yaacob di Jalan Ipoh dan SMK Sungai Besi di Kuala Lumpur serta SMK Selandar di Melaka.

“Projek perintis berkenaan hanya dilaksana di empat sekolah berkenaan terlebih dahulu, masih awal untuk membuat keputusan sama ada ia boleh diguna pakai di seluruh negara kerana kami perlu melihat keberkesanannya terlebih dahulu.

“Bagaimanapun, pelaksanaan projek ini perlu mendapat persetujuan dan sokongan ibu bapa dan sebelum ia boleh dilaksanakan,” katanya.

Pepatih MySekolah adalah aplikasi canggih yang dibangunkan bagi melihat kehadiran anak ke sekolah secara terperinci.

Melalui teknologi biometrik, pelajar perlu mengesahkan kehadiran menggunakan cap jari dan notifikasi kehadiran ke sekolah dan ia dihantar secara terus kepada ibu bapa melalui aplikasi itu yang dimuat turun dalam telefon pintar masing-masing.

Disiarkan pada: July 21, 2016 @ 9:14am
d