mutakhir

Pusat Tahanan Kamunting 'simpan' militan Daish

Taiping: Jabatan Penjara Malaysia menjangkakan Pusat Tahanan Kamunting, di sini, mampu beroperasi pada hujung tahun ini bagi menempatkan tahanan warga tempatan dan asing yang terbabit dengan aktiviti kumpulan militan Daish.

Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan dan Koreksional) Datuk Hassan Sakimon berkata, pihaknya kini dalam proses mengubah suai bangunan pusat tahanan berkenaan yang sebelum ini digunakan untuk tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), namun ditutup pada Januari 2014.

Menurutnya, selain pengubahsuaian bangunan itu, pihaknya turut membuat pemilihan dan melatih pegawai yang bersesuaian untuk menjaga tahanan terbabit.

“Kita sudah menyediakan bangunan berkenaan, cuma kita akan memperlengkapkan peralatan bagi kesesuaian bagi tujuan menempatkan banduan militan Daish.

“Pengubahsuaian dibuat kerana banduan ini berbeza dengan banduan lain dan mereka tidak boleh bercampur,” katanya selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Sijil Asas Pengurusan Penjara di Pusat Latihan Pegawai Penjara Malaysia (PULAPEN) di sini, semalam.

Hassan berkata, berikutan kategori tahanan itu berbeza daripada banduan lain, pihaknya turut membuat jadual terhadap segala aktiviti tahanan itu secara berasingan termasuk perjumpaan bersama keluarga dan penghantaran makanan.

“Kita mempunyai akta di mana mereka tidak boleh campur dengan banduan lain kerana tidak mahu berlaku penyebaran yang boleh mempengaruhi banduan lain.

“Bukan setakat banduan saja, malah pegawai turut dilatih supaya tidak terpengaruh,” katanya.

Menurutnya, ketika ini tahanan membabitkan kumpulan Daish itu ditempatkan ditahan di Penjara Simpang Renggam, Johor dan Machang, Kelantan serta mereka dipantau secara ketat termasuk komunikasi mereka.

“Kita mengawasi semua surat menyurat dan perjumpaan mereka dengan keluarga, malah penyediaan serta penghantaran makanan kepada mereka juga dibuat secara berasingan daripada banduan lain,” katanya.

Dalam pada itu, Hassan berkata, pihaknya kini menghadapi kesesakan banduan dipenjara dengan jumlahnya adalah seramai 53,399 banduan berbanding 52,350 banduan yang boleh ditempatkan di penjara di negara ini.

Disiarkan pada: July 21, 2016 @ 9:39am
d