mutakhir

Cikgu kaki lucah [METROTV]

Oleh Muhamaad Razis Ismail

Kota Bharu: Akibat menggunakan aplikasi Internet untuk membuat dan menghantar gambar lucah palsu membabitkan beberapa pemimpin negara serta memiliki filem lucah, seorang guru dipenjara dua tahun di Mahkamah Sesyen di sini, semalam

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Nik Adid Nik Mat, 43, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

“Selepas meneliti keterangan dan hujahan, tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan. Oleh itu, tertuduh didapati bersalah terhadap pertuduhan,” katanya.

Tertuduh yang mengajar Matematik dan Kemahiran Hidup itu hanya menundukkan wajahnya ketika mendengar keputusan mahkamah itu.

Mahkamah memerintahkan hukuman bermula dari tarikh jatuh hukum dan berjalan secara berasingan.

Ahmad Bazli bagaimanapun membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sehingga rayuan di Mahkamah Tinggi selesai dengan jaminan RM15,000.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan aplikasi Internet untuk membuat dan menghantar gambar bertajuk ‘ Pesta Bogel’ berunsur lucah dan palsu di https://www.facebook.com/kopi.rajaakar dengan niat menyakiti hati orang lain di Jalan Maahad Saniah, Pasir Puteh pada jam 9 malam, 8 Ogos 2014.

Kesalahan didakwa mengikut Subseksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, di lokasi sama, tertuduh didakwa memiliki filem dan bahan publisiti filem lucah pada jam 4.45 pagi, 21 Ogos 2014.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 5(1)(a) Akta Penapisan Filem 2002 yang dihukum seksyen 5(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam Siti Syaerah Meor yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan terhadap tertuduh dengan mengambil kira tertuduh perlu menyara isteri dan empat anak yang masih kecil serta ibu dan adik beradik lain.

“Isteri tertuduh juga sedang berpantang memerlukan perhatian daripada suaminya,” katanya.

Bagaimanapun Pengarah Pendakwaan Kelantan Idham Abd Ghani memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh dengan mengambil kira kepentingan awam.

“Mahkamah patut memberi peringatan kepada orang awam, kesalahan ini membabitkan pemimpin negara selain boleh menyebabkan perpecahan dalam masyarakat,” katanya.

Disiarkan pada: July 21, 2016 @ 10:04am
d