mutakhir

Pendidikan berkualiti

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Forum Dasar Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Asia Pasifik 2016 (APFEC 2016) yang berakhir, semalam membuat sembilan ketetapan yang dirangkum dalam Deklarasi Putrajaya.

Sembilan ketetapan itu antara lain mahu semua negara di rantau Asia Pasifik memantau perjalanan pendidikan awal kanak-kanak di negara masing-masing selaras dengan Sasaran Pembangunan Mapan (SDG) 4.2 menjelang 2030.

Sebanyak 46 negara Asia Pasifik bersetuju dengan Deklarasi Putrajaya terutama dalam membangunkan polisi penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak secara jelas, berstrategi dan mempunyai hala tuju.

Antara sembilan ketetapan itu ialah komited mewujudkan kesepaduan polisi, perundangan dan program pendidikan awal kanak-kanak sekurang-kurangnya dalam tempoh setahun serta mewajibkan pendidikan prasekolah berkualiti dan memberi tumpuan khusus kepada kanak-kanak istimewa (kurang upaya).

Selain itu, sidang sama turut menetapkan keperluan supaya pendidikan awal kanak-kanak dilaksanakan secara bersepadu dan diselaras secara bersama dengan kementerian bertanggungjawab termasuk dalam soal kesihatan, sosial, perlindungan kanak-kanak, kebersihan, keadilan dan pendidikan awal serta peruntukan khusus bagi melaksanakannya.

Deklarasi itu juga mahu setiap negara anggota membangunkan polisi jelas, strategi, garis panduan dan program yang berkualiti tinggi bagi meningkatkan profesionalisme dalam kalangan tenaga pengajar pendidikan awal kanak-kanak.

Dalam pada itu, deklarasi sama menetapkan supaya semua pihak perlu membangunkan program pendidikan awal kanak-kanak secara inklusif, bermanfaat, terangkum dan berkualiti tinggi serta menyediakan kemudahan serta perkhidmatan berkualiti terutama kepada kanak-kanak kurang upaya di samping memberikan sokongan penuh kepada keluarga yang melahirkan anak pertama.

Perkara lain disentuh termasuk peranan yang boleh dimainkan kerajaan dalam meningkatkan pelaburan dalam pembangunan pendidikan awal serta keperluan menjalin kerjasama dengan sektor swasta, masyarakat awam dan pihak berkepentingan lain bagi menyediakan sumber kewangan yang efektif dan tenaga kerja berkualiti.

Disiarkan pada: July 22, 2016 @ 10:17am
d