mutakhir

Kembali membesar

Oleh Zairee Mohd Yasak

Melaka: Kepala kanak-kanak malang, Nur Farina Ng Muhammad Iman Firdaus, 3, kembali membesar selepas dua minggu pembedahan membuang cecair dalam kepalanya menggunakan proses ‘shun’ dilakukan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Mei lalu.

Bapa kanak-kanak malang itu, Muhammad Iman Firdaus Ng Abdullah, 52, berkata, walaupun keadaan anak bongsunya tidak banyak berubah, dia berasa lega kerana doktor memaklumkan keadaan Nur Farina tidak serius.

Muhammad Iman Firdaus berkata, pada mulanya dia berasa amat risau dengan perkembangan Nur Farina berikutan ukuran kepala anaknya yang menyusut selepas pembedahan kembali membesar kepada saiz asal.

“Hanya Tuhan saja tahu perasaan saya ketika melihat kepala anak ditebuk bagi membolehkan dua tiub dimasukkan ke bahagian tempurung kepala untuk menyedut cecair berkumpul di bahagian itu.

“Walaupun berat hati untuk membenarkan kepala anak ditebuk, saya tidak ada pilihan lain kerana pembedahan dilakukan itu adalah untuk kebaikan Nur Farina yang menderita sejak bayi lagi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Flat Majlis Agama Islam (MAIM) Pantai Peringgit, di sini, semalam.

Muhammad Iman Firdaus berkata, dia tetap bersyukur kerana doktor pakar memaklumkan keadaan semasa Nur Farina tidak memerlukan kanak-kanak itu terus menjalani proses mengeluarkan cecair pada otak yang berlebihan.

Dia memberitahu, proses shun dilakukan bagi membolehkan tiub kekal ditanam di bawah kulit untuk mengalirkan cecair otak terkumpul mengalir semula ke bahagian tulang belakang anaknya.

Bapa kepada dua anak itu memberitahu sejak Nur Farina menjalani pembedahan berkenaan, berat anaknya menyusut kepada sembilan kilogram. Bagaimanapun, saiz badannya semakin membesar.

Selain itu, Muhammad Iman Firdaus berkata, Nur Farina juga semakin aktif dan menunjukkan reaksi ketika ditanya walaupun dalam keadaan terbaring kerana masih belum berupaya untuk bangun dengan sendiri.

“Nur Farina sudah boleh mengunyah makanan pejal seperti roti, biskut dan nasi. Tetapi apa merisaukan saya, dia mula kurang minum susu berfomula yang disyorkan doktor untuk membantu pembesaran tubuhnya,” katanya.

Disiarkan pada: July 23, 2016 @ 11:19am
d