mutakhir

50 pokok terlarang

Oleh Amrullah Abdul Karim

Hulu Bernam: Sebuah rumah di Kampung Masjid, Sungai Selisek, di sini, bukan saja dijadikan ‘markas’ memproses daun ketum malah halaman kediaman itu turut menjadi kebun kecil bagi tanaman lebih 50 pokok ketum.

Kegiatan dipercayai dilakukan lelaki berusia 57 tahun itu terbongkar hasil maklumat orang awam dan risikan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Hulu Selangor selama seminggu disusuli operasi khas jam 4 pagi semalam.

Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah (PEMADAM) Daerah Hulu Selangor Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata, lelaki terbabit dipercayai aktif memproses dan menjual ketum sejak hampir lima tahun lalu dengan pasaran jualannya tertumpu kepada pekerja kebun atau ladang.

“Lelaki terbabit bukan saja menjual daun ketum malah air rebusan turut dibotolkan sebelum dijual pada harga RM30 bagi 1.5 liter.

“Kegiatan lelaki itu sukar dikesan kerana berselindung di sebalik rumah kampung dan pemprosesan daun ketum dilakukan secara tradisional di rumah. Malah pokok ketum yang ditanam di tepi rumah juga terlindung di celah semak,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kegiatan itu berjaya dihidu sebelum pihak berkuasa melakukan serbuan bersama PEMADAM sekali gus membawa kepada penangkapan dan penemuan itu.

Mohd Fauzi yang juga Pegawai Daerah Hulu Selangor berkata, terdapat beberapa bungkusan guni daun ketum dirampas serta botol berisi air ketum yang sedia untuk dijual.

Katanya, siasatan mendapati lelaki itu menanam pokok menggunakan tunas dan beberapa tunas baru ditemui.

“Pokok ketum ditanam di sepanjang anak sungai dan denai di belakang rumah lelaki itu.

“Ada pokok dianggarkan sudah berusia 10 tahun dan kebanyakannya jenis daun urat merah yang diketahui kualitinya tinggi namun semuanya sudah dimusnahkan,” katanya.

Menurutnya, lelaki itu ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Disiarkan pada: July 23, 2016 @ 11:34am
d