mutakhir

Ribuan datang ziarah

Oleh Nur Syazwana Mansor

Sik: “Kami sekeluarga reda dengan pemergian ayah dan menganggap ia sebagai satu keajaiban apabila ribuan pelajar, termasuk pengikutnya tidak putus-putus menziarahi jenazah arwah sejak berita ketiadaannya tersebar sejak malam semalam (kelmarin).”

Begitu kata Nafisah, 51, anak perempuan tokoh ulama ternama Kedah, Salleh Musa, 87, atau lebih dikenali sebagai Tuan Guru Haji Salleh yang meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar akibat masalah paru-paru, pada jam 8.15 malam kelmarin.

Nafisah berkata, kehadiran ramai pengikut dan pelajar arwah dianggap seperti satu nikmat untuk bapa mereka kerana seluruh keluarga tidak pernah menyangka akan menerima kunjungan orang seramai itu yang datang dari serata pelosok negeri.

“Malah, sepanjang tempoh arwah sakit, ramai anak muridnya yang datang menziarah, membantu dan menjaga arwah dengan rela hati.

“Keadaan itu mungkin disebabkan ayah seorang yang penyayang dan tegas dalam mendidik anak-anak dan sangat pemurah dengan ilmu agama dengan sesiapa, sekali gus begitu disanjungi,” katanya.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Masjid Ar-Rahman, Pekan Sik, kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam.

Terdahulu, jenazah disembahyangkan di Madrasah Ar-Rahmaniah sebelum dibawa ke tanah perkuburan dengan diiringi oleh ribuan pengikut dan pelajarnya yang bergilir-gilir membantu mengusung keranda sejauh satu kilometer.

Turut menziarahi jenazah ialah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Nafisah, anak keempat daripada 11 beradik berkata, arwah bapa mereka disifatkan sebagai seorang amat mementingkan disiplin dalam menuntut dan mengajar agama, mudah mesra, memuliakan tetamu dan sering menyembunyikan masalah yang dihadapinya.

Menurutnya, arwah bapanya mengalami masalah pada paru-paru sejak sebulan lalu namun langsung tidak pernah mengeluh atau mengadu masalah kerana tidak mahu menyusahkan anak-anak.

“Kami lihat raut wajahnya seperti sedang menahan sakit, namun arwah tidak pernah menceritakan kesakitan yang dialaminya, malah masih gigih mengajar agama sepanjang Ramadan lalu, meskipun dalam keadaan kesihatan yang tidak menentu,” katanya.

Menurutnya, arwah juga sempat memberi amanat berkaitan warisan tugasnya dalam pengajian pondok sekali gus mengharapkan apa yang diusahakannya dapat dikekalkan dan
dibuat penambahbaikan.

Disiarkan pada: July 24, 2016 @ 9:42am
d