mutakhir

Tekad banduan dijel 7 kali

Oleh Nor Shafinaz Sari

Melaka: Keinginan melihat anak lelaki tunggalnya membesar menyebabkan seorang banduan yang kini menjalani hukuman di Penjara Dusun Datuk Murad, Ayer Keroh, di sini, bertekad berubah dan menjalani kehidupan seperti lelaki lain yang bergelar bapa.

Tujuh kali dipenjara kerana kesalahan dadah bukan saja memeritkan bagi banduan yang hanya mahu dikenali sebagai Ray berusia 37 tahun, sebaliknya dia terlepas saat indah membesarkan anaknya yang kini berusia 17 tahun.

Menurutnya, dia berasa rugi kerana tidak dapat menikmati keindahan saat memanjakan anak tunggalnya itu seperti bapa lain apabila sebahagian besar kehidupannya dihabiskan dalam penjara.

“Sebelum ini saya menjalani hukuman di Penjara Kajang, Selangor dan baru dipindahkan ke sini. Saya tidak sabar untuk dibebaskan pada 2 September depan kerana itulah detik permulaan bagi saya untuk berubah dan menjadi bapa yang baik kepada anak.

“Saya sudah letih, tidak sanggup lagi menghabiskan sisa hidup dalam penjara, malah selama ini saya lupa tanggungjawab terhadap keluarga,” katanya ketika ditemui pada program Jalinan Kasih sempena Aidilfitri Penjara Dusun Datuk Murad, Ayer Keroh, semalam.

Majlis itu bertujuan memberi peluang kepada banduan berjumpa ahli keluarga mereka, malah, Ray bertuah kerana turut menerima kunjungan ahli keluarganya yang datang dari Cheras, Kuala Lumpur.

Hadir sama, Penolong Komisioner Penjara Nor Haizan Md Isa dan Timbalan Penguasa Penjara merangkap Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Banduan Azman Husin.

Anak ketiga daripada tujuh beradik itu berkata, dia bersyukur dan terharu selepas menerima kunjungan ahli keluarga, sekali gus menunjukkan mereka sedia memaafkan serta menerimanya semula.

Seorang lagi banduan yang mahu dikenali sebagai Panjang berusia 35 tahun berkata, dia tidak sangka diberi peluang untuk melepaskan rindu terhadap keluarga selepas hampir setahun menjalani hukuman di penjara itu.

Menurutnya, dia tidak menganggap penjara sebagai tempat bagi menghukum pesalah sepertinya, tetapi mendidik manusia kembali ke pangkal jalan, malah dia tenang selepas diberikan pendedahan mengenai ilmu agama.

“Akibat terbabit dalam pergaduhan, saya dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan berharap dapat menggunakan tempoh itu untuk mempelajari ilmu agama dan muhasabah diri supaya tidak mengulangi kesilapan lalu.

“Saya serik dan sedih melihat wajah setiap ahli keluarga, baru timbul penyesalan kerana sebelum ini tidak dapat mengawal perasaan baran sehingga membinasakan diri sendiri,” katanya yang menerima kunjungan keluarga dari Batu Pahat, Johor.

Katanya, dia juga berasa dirinya semakin matang selepas menjalani hukuman dan sebagai anak sulung daripada lima beradik, dia kini lebih bersedia memikul tanggungjawab menjaga ibu bapa dan ahli keluarga lain.

“Selepas dibebaskan pada 2017, saya bercadang tinggal bersama-sama keluarga dan menjaga mereka sebaik mungkin. Cukuplah sekali saya kecewakan mereka,” katanya.

Sementara itu, Nor Haizan berkata, pihaknya melakukan saringan terhadap 30 banduan untuk diberi peluang berjumpa keluarga masing-masing pada majlis itu, tetapi hanya 13 yang terpilih.

Beliau berkata, banduan terbabit dinilai berdasarkan kepada prestasi ditunjukkan sepanjang menjalani hukuman dan hanya mereka yang layak diberikan peluang menyertai program itu.

“Seramai 263 banduan menjalani hukuman di sini, mereka dipindahkan dari beberapa penjara sekitar Zon Selatan dan kami tidak terima secara langsung dari mahkamah melainkan mereka yang hampir dibebaskan,” katanya.

Disiarkan pada: July 24, 2016 @ 9:43am
d