mutakhir

Kumpul dana RM80,000

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Edisi kedua Larian amal iM4U, Reach Out Run For A Cause yang berlangsung semalam berjaya mengumpul dana RM80,000 untuk diserahkan kepada empat badan kebajikan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Rudy Malik berkata, empat badan kebajikan berkenaan termasuk Juara Turtle Project, Pertubuhan Pemuliharaan Tanah Lembap Sabah (SWCS), Project WHEE! dan Persatuan Penyakit Jarang Jumpa Malaysia (MRDS) yang menerima masing-masing RM20,000.

Beliau berkata, pihaknya teruja diberi peluang sekali lagi untuk menjayakan larian amal berkenaan sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan rakyat Malaysia.

“Larian amal ini juga menjadi platform di mana peserta memberi sokongan kepada rumah kebajikan terpilih melalui penyertaan mereka dalam larian ini.

“Seramai 4,000 orang menyertai larian ini hari ini (semalam) dan ia mendapat sambutan memberangsangkan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Katanya, larian ini juga didedikasikan kepada mereka yang membabitkan diri dalam aktiviti sukarelawan di rumah kebajikan terpilih.

Rudy berkata, program ini juga menggalakkan sukarelawan untuk menyertai pelbagai aktiviti unik dan menyeronokkan sambil memupuk sikap tolong menolong sesama insan.

Menurutnya, Reach Out Run mula diperkenalkan pada tahun lalu bertujuan menggalakkan rakyat Malaysia mengamalkan kehidupan lebih seimbang yang sihat selain membantu empat rumah kebajikan terpilih dan menggalakkan perpaduan melalui larian amal ini.

“Tahun ini, larian amal ini disertai artis tempatan seperti Siti Saleha, Pushpa Narayan, Faizdickie dan Sean Lee sebagai duta malah, mereka juga berganding bahu dengan penyampai radio iM4U.fm iaitu Jiggy, Fiza, TV dan Tyler.

“Selain itu, duta dan penyampai radio iM4U juga terbabit dalam aktiviti sukarela dengan penyertaan aktiviti sukarela bersama Juara Turtle Project di Pulau Tioman; SWCS di Sabah dan Project WHEE! di Bario, Sarawak selain bersama kanak-kanak MRDS di Seri Kembangan, Selangor,” katanya.

Dalam pada itu, iM4U juga mencapai kejayaan besar sejak penubuhannya pada 2012 menerusi empat tonggak utama iaitu seni, budaya dan inovasi; kesejahteraan komuniti; sukan dan pembangunan pengetahuan.

Terdahulu, larian amal berkenaan dibahagikan kepada empat kategori 15 kilometer (km) lelaki dan wanita terbuka, 10km, lelaki dan wanita terbuka, 10km pelajar kolej dan universiti dan lima km larian santai.

Tiga pemenang terpantas bagi kategori 15km menerima hadiah wang tunai masing-masing RM2,000, RM1,500 dan RM1,000 manakala, pemenang bagi kategori 10km pula menerima RM1,500, RM1,000 dan RM500.

Selain itu, tiga pemenang terpantas kategori 15km dan 10km akan menyalurkan 10 peratus daripada wang hadiah yang dimenangi kepada rumah kebajikan pilihan mereka.

Manakala, pemenang kategori universiti dan kolej pula memenangi hadiah wang tunai RM3,000, RM2,000 dan RM1,000 dari dana iM4U untuk menjalankan aktiviti sukarela mengikut inisiatif sendiri.

Disiarkan pada: July 25, 2016 @ 9:09am
d