mutakhir

Silap orang bro! [METROTV]

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Nerus: Taktik dua tekong warga Vietnam cuba merasuah pegawai penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 9 (DM9) bagi melepaskan diri gagal selepas ditahan kerana disyaki melakukan aktiviti penangkapan ikan secara tunda ganding di perairan Terengganu, pada Jumaat lalu.

Dalam operasi itu, dua tekong berusia 28 dan 46 tahun itu masing-masing menawarkan RM1,000 kepada pegawai APMM bagi melepaskan diri selepas bot yang mereka naiki ditahan kira-kira jam 6.05 dan 6.30 pagi di dua lokasi berasingan iaitu pada jarak sekitar 40 hingga 41 batu nautika dari pesisir pantai Kuala Terengganu.

Selain dua tekong terbabit, APMM turut menahan 41 awak-awak termasuk dua lagi tekong dan menahan empat bot nelayan membabitkan nilai rampasan sebanyak RM1.7 juta, manakala hasil tangkapan bernilai RM18,700.

Ketua Pengarahnya Laksamana Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata, dua tekong terbabit cuba menyogok RM1,000, namun gagal sebelum mereka ditahan.

Beliau berkata, pihaknya turut menahan dua lagi bot nelayan warga Vietnam yang menangkap ikan menggunakan teknik sama pada jarak antara 48 hingga 49 batu nautika dari pesisir pantai Kuala Terengganu antara jam 8.30 pagi dan 9 pagi.

“Semua 43 awak-awak termasuk empat tekong berusia antara 17 hingga 56 tahun yang ditahan kini direman selama dua minggu sehingga 5 Ogos depan untuk siasatan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

“Selain itu, pemeriksaan juga mendapati dua awak-awak warga asing turut dikesan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri sah dan mereka disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana bekerja di atas bot tanpa permit sah,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Menurut Ahmad Puzi, pihaknya menerima banyak aduan daripada nelayan mengenai kegiatan pukat ganding di perairan dan sudah mengarahkan semua daerah maritim untuk meningkatkan rondaan termasuk pemantauan di udara.

“Kegiatan ini bukan hanya menyalahi undang-undang tetapi ia turut memberi ancaman kepada pembiakan ikan dan hidupan laut yang akan menjejaskan pendapatan nelayan di negeri ini,” katanya.

Disiarkan pada: July 25, 2016 @ 9:57am
d