mutakhir

Sesak 2km lori terbabas, terbalik

Oleh myMetro

Shah Alam: Pemandu sebuah lori cedera apabila kenderaan tanpa muatan dipandunya hilang kawalan lalu terbalik dalam kemalangan di Kilometer (KM) 3, Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE) di sini, petang semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 3.20 petang itu turut mengakibatkan kesesakan lalu lintas lebih dua kilometer.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, laporan awal kemalangan itu mendapati lori dipandu lelaki berusia 30-an itu terbabas dan melanggar papan tanda di arah bertentangan.

“Berdasarkan siasatan, lori dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan sebelum memasuki lorong bertentangan dan terbalik.

“Bagaimanapun, tiada kenderaan lain terbabit dalam kemalangan itu manakala pemandu lori berkenaan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) bagi mendapatkan rawatan,” katanya.

Shafien berkata, operasi pembersihan jalan dan papan tanda serta kerja mengalihkan lori berkenaan dijalankan pekerja Lebuhraya Elite.

Disiarkan pada: July 26, 2016 @ 9:07am
d