mutakhir

Sasar latih 600 ahli PERHEBAT jadi usahawan

Oleh myMetro

Putrajaya: Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) dan Institut Keusahawanan Negara (TERAJU-INSKEN) bekerjasama dengan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) untuk melaksanakan program pembangunan kapasiti dan program latihan berteras kemahiran dan keusahawanan.

Pengerusi PERHEBAT Datuk Abdul Aziz Ibrahim berkata, kerjasama itu mensasarkan golongan bakal anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Bumiputera yang akan menamatkan perkhidmatan mereka.

“Sasaran kita adalah anggota yang sudah bersara selepas berkhidmat antara 10 hingga 25 tahun. Kerjasama ini meliputi penyelarasan dan penyediaan beberapa program pra latihan peralihan dalam bidang keusahawanan.

“Kita akan membimbing 100 usahawan PERHEBAT yang akan bertindak sebagai mentor kepada usahawan baharu di bawah Program Latihan Fasilitator Bisnes, dan kita mensasarkan untuk melatih 600 ahli PERHEBAT menerusi kerjasama ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis pertukaran dokumen perjanjian di Bangunan Perdana Putra di sini, semalam.

Majlis pertukaran dokumen perjanjian disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selepas mempengerusikan Mesyuarat Ekonomi Bumiputera (MEB).

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa; Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) Datuk Husni Salleh; Ketua Pegawai Eksekutif LTAT merangkap Ahli Lembaga Pengarah PERHEBAT Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin dan Ketua Eksekutif Yayasan Peneraju Raja Azura Raja Mahayuddin.

Pertukaran dokumen perjanjian disempurnakan Abdul Aziz dan Pengarah Eksekutif TERAJU-INSKEN Norizan Sharif.

Pada majlis sama, Perdana Menteri turut menyerahkan surat tawaran kepada lapan ahli PERHEBAT yang akan menyertai Program Peneraju Skil Juruteknik Pesawat Berlesen kelolaan Yayasan Peneraju.

Raja Azura berkata, program ini memberi peluang kepada pesara ATM Bumiputera yang terbabit untuk mendapatkan pensijilan profesional dalam bidang penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat udara yang melayakkan mereka diiktiraf sebagai juruteknik pesawat berlesen dan bertauliah.

“Kita mensasarkan untuk melatih 56 pesara atau bakal pesara untuk menjadi juruteknik pesawat berlesen, mereka yang berjaya mendapatkan pensijilan profesional ini berpeluang memohon pekerjaan di bidang berkaitan dengan memperoleh pendapatan lebih tinggi, dalam lingkungan RM3,800 sebulan.

“Kita berharap program ini dapat memberi peluang kepada pesara tentera mendapat karier kedua, pada masa sama, kita akan melihat kerjasama dalam lebih banyak sektor seperti maritim, peruncitan dan logistik untuk memenuhi keperluan industri dan memberi peluang pekerjaan kepada pesara tentera,”katanya.

Selain itu, Najib turut menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara syarikat dibawah Skim Jejak Jaya Bumiputera (SJJB), Sedania Innovators Berhad (Sedania) dan Cloudera Inc bagi yang akan menjadi rakan kongsi bagi menyediakan perkhidmatan data analitik di Asia Tenggara.

Menerusi perjanjian lima tahun itu, Sedania akan mempunyai hak untuk menyediakan perkhidmatan data analitik kepada syarikat di negara ini serta akses ke seluruh Asia Tenggara.

Disiarkan pada: July 26, 2016 @ 9:08am
d