mutakhir

Segera jumpa doktor

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: Mana-mana individu yang mengalami sakit tekak berpanjangan serta teruk, diminta segera bertemu doktor bagi mendapatkan rawatan khusus kerana bimbang ia adalah penyakit difteria.

Amaran ini berikutan penularan penyakit berkenaan terutama membabitkan golongan kanak-kanak susulan daripada kes jangkitan penyakit itu sejak kebelakangan ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, kebanyakan kes dijangkiti difteria adalah mereka yang tidak mendapatkan vaksin secara penuh namun, ada juga yang dijangkiti tetapi sudah mendapat vaksin berkenaan.

“Bagaimanapun, ia tidak begitu teruk berbanding mereka tidak menerima vaksin itu serta boleh dirawat dengan kemudahan dan ubat yang ada,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Kesihatan di sini semalam.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya akan melihat aspek ancaman yang akan wujud kesan daripada gerakan antivaksin terhadap keselamatan dan kesihatan murid di sekolah.

Menurutnya, perkara berkenaan akan dibincangkan bersama pihak Kementerian Pendidikan dalam menangani gerakan antivaksin yang enggan menghantar anak masing-masing menjalani program imunisasi.

“Sehingga kini, kita belum ada sebarang kuasa dan pendekatan justeru, aspek ini sedang dibincangkan dengan Kementerian Pendidikan macam mana untuk menangani keadaan ini.

“Ia bukan dari sudut hak seseorang menafikan atau menerima vaksin, tetapi dari aspek ancaman akan wujud terhadap keselamatan mereka yang lain di sekolah,” katanya.

Beliau berkata, sebagai individu, mereka ada hak untuk membuat keputusan tetapi, ia tidak boleh menjadi satu ancaman kepada yang lain.

Malah, katanya, perbincangan dengan Kementerian Pendidikan adalah bagi mencari pendekatan sesuai untuk menangani ibu bapa yang tetap berdegil dalam pemberian vaksin kepada anak masing-masing.

Pada masa sama, beliau berkata, Kementerian Kesihatan melaksanakan pendekatan nasihat dan memberi penjelasan kepada orang ramai daripada sudut saintifik dan agama berhubung kepentingan memberi vaksin.

“Kita tidak mahu kumpulan antivaksin ini bertambah besar dan mereka agresif menerusi kempen dijalankan dalam media sosial Facebook atau laman sesawang.

“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga sangat menyokong usaha dijalankan dan kita mahu memberi kesedaran kepada orang ramai, sekiranya pemberian vaksin tidak dilakukan akan mendedahkan anak mereka terhadap risiko bahaya,” katanya.

Disiarkan pada: July 26, 2016 @ 9:36am
d