mutakhir

Atuk, nenek jaga 10 cucu

Oleh myMetro

Kuala Pilah: Meskipun berada di penghujung usia, sepasang suami isteri warga emas mengambil alih tugas menjaga 10 cucu berikutan ibu mereka terpaksa bekerja mencari rezeki.

Abdul Manap Maarof, 74, dan Raiah Said, 69, memikul tanggungjawab itu demi memastikan semua cucu mereka berusia enam hingga 15 tahun mendapat penjagaan dan perhatian keluarga.

Raiah berkata, dua anak perempuannya yang juga ibu kepada enam dan empat anak itu keluar mencari rezeki.

“Saya sedia dan reda mengambil alih tugas menjaga mereka. Walaupun kami sudah tua, tetapi selagi ada kudrat, biar saya jaga mereka kerana mereka darah daging kami juga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Ulu Bendul, di sini, kelmarin.

Menurutnya, tiga cucunya bersekolah menengah, manakala tiga bersekolah rendah dan dua cucu masih berada di pra sekolah.

“Cucu saya boleh berdikari. Apabila mereka ke sekolah, saya pergi menangkap ikan di sungai dan mencari pucuk paku liar di kawasan paya di tebing sungai dijadikan lauk.

“Suami pula mengambil upah menoreh getah. Kadang kala suami mengambil upah menggali kubur, menebas dan meracun lalang kebun penduduk kampung,” katanya.

Raiah ditemui selepas menerima sumbangan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Pilah menerusi Program Ziarah sempena sambutan Aidilfitri.

Sementara itu, Timbalan Pegawai PPD Kamanizam Tindek berkata, seorang cucu Raiah iaitu Mohd Syafiq Ikhwan Zahari, 11, adalah murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Bendul yang terpilih menerima sumbangan itu.

Disiarkan pada: July 26, 2016 @ 9:43am
d