mutakhir

Barangan KR1M tetap murah

Oleh myMetro

Kuala Lumpur: Pengguna lega apabila harga barangan keperluan di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) kekal sejak program 1Malaysia 1Harga diperkenalkan pada 2013.

Antara barangan di bawah program berkenaan adalah beras, gula, minyak masak, kicap, sos, marjerin, kordial minuman, jem dan biskut.

Tinjauan Harian Metro di KR1M sekitar ibu kota mendapati kebanyakan masyarakat di kawasan perumahan menjadikan kedai berkenaan sebagai lokasi utama mendapatkan barangan keperluan lebih murah.

Pekerja kebersihan Che Som Harun, 57, berkata, sejak kerajaan memperkenalkan KR1M, kebanyakan barangan keperluan rumah dibeli di kedai berkenaan kerana menjimatkan kos perbelanjaan.

“Walaupun berjalan jauh sedikit dari kawasan rumah, tetapi ia sangat berbaloi kerana saya boleh berjimat antara RM5 hingga RM10 bagi barangan sama di kedai runcit biasa.

“Daripada segi kualiti pula, ia lebih kurang sama dengan barangan berjenama lain walaupun bungkusannya berwarna putih,” katanya.

Menurutnya, dengan kos sara hidup yang tinggi di bandar, KR1M antara kedai yang menawarkan harga mampu milik bagi kebanyakan barangan keperluan.

Pekerja swasta Noor Shuhada Mat Ghazali, 25, berkata, KR1M diwujudkan untuk kepentingan orang ramai.

“Jangan pandang sebelah mata kepada masyarakat yang berbelanja di KR1M kerana tidak semua pelanggan orang tidak berkemampuan, tetapi ia langkah berjimat cermat.

“Selain itu, ia dapat membantu golongan yang baru bekerja merancang perbelanjaan kerana lebih banyak kos lain yang perlu dititikberatkan seperti kos pengangkutan untuk ke tempat kerja dan sewa bulanan tempat tinggal,” katanya.

Disiarkan pada: July 28, 2016 @ 8:05am
d