mutakhir

'Beria-ria mahu jadi imam'

Oleh Mohd Hilmie Hussin

Melaka: “Malam tadi (kelmarin), arwah beria-ria mahu mengimamkan solat Maghrib sebelum pulang. Walaupun terkenal dengan sikap peramahnya, gelagat arwah bersalaman dengan semua pekerja yang ditemui di kantin kilang menyebabkan kami semua pelik,” kata Khairel Rasip, 32, rakan karib Nor Azli Ahmad, 41, yang maut dalam kemalangan, kelmarin.

Kemalangan di Jalan Alai, jam 8.30 malam kelmarin, membabitkan motosikal yang ditunggang Nor Azli dengan sebuah kenderaan lain menyebabkan mangsa yang parah maut di tempat kejadian.

Menurut Khairel, selepas tamat waktu bekerja, mereka menunaikan solat Maghrib berjemaah yang diimamkan Allahyarham Nor Azli, sebelum berkumpul di sebuah restoran makanan segera bagi meraikan rakan setugas yang bertukar tempat kerja.

Katanya, pada pertemuan itu, semua pekerja yang hadir berasa amat pelik dengan gelagat arwah yang tiba-tiba berucap dan bukannya rakan mereka diraikan seperti sepatutnya.

“Arwah mengucapkan tahniah kepada rakan yang mendapat kerja baru, semoga ‘sukses’ dan panjang umur, tidak lama lagi akan kahwin dan mendoakan dia selamat dunia serta akhirat.

“Lebih membuatkan saya sedih apabila sekarang baru perasan, arwah kerap menunjukkan gambarnya waktu dulu, zaman belajar dan baru bekerja di kilang ini. Meskipun kita buat acuh tak acuh, dia tetap tunjukkan,” katanya.

Menurutnya, dia juga menyedari ada yang tidak kena dengan arwah sejak beberapa minggu lalu berikutan rakan karibnya jarang ke kantin untuk makan dan minum bersama pekerja lain pada waktu rehat.

“Kami mula menjadi rakan karib sejak saya bertugas di kilang ini dan kerana amat rapat, saya menganggap arwah seperti abang kandung sendiri,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi rakan sekerja arwah, Ahmad Shahrani Abdul Hamid, 32, berkata, sejak beberapa minggu lalu, Nor Azli kerap menolak pelawaan untuk makan di kantin kerana berpuasa.

“Selepas berakhir Ramadan, arwah berpuasa sunat enam hari dan dia turut mengajak kami bersama-sama menunaikan ibadat sunat itu dengan berpuasa setiap Isnin dan Khamis.

“Saya dapat tahu ada jirannya menegur arwah kerana hanya satu daripada pokok ditanamnya hidup. Namun arwah selamba menjawab tidak mengapa tuan pokok juga dah nak mati,” katanya.

Disiarkan pada: July 29, 2016 @ 7:26am
d