mutakhir

Bendung penyakit tropika

Oleh Muhammad Apendy Issahak

Ipoh: Kemunculan semula penyakit tropika dan berjangkit termasuk difteria sehingga mengakibatkan lima kematian setakat ini memerlukan pendekatan yang lebih responsif untuk menanganinya.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Kampus Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP) Hisshamuddin Omar berkata, kemunculan semula penyakit difteria yang menyebabkan kematian sangat mengejutkan kerana ia tidak pernah didengar selama dua dekad selepas program imunisasi diperkenalkan pada 1958.

“Begitu juga dengan penyakit yang boleh dicegah seperti demam campak menunjukkan peningkatan 340 peratus apabila 870 kes dilaporkan setakat ini berbanding 197 tahun lalu,” katanya pada majlis perasmian Seminar Mengenai Perubatan Tropika dan Penyakit Berjangkit: Kemunculan dan Kemunculan Semula Penyakit Berjangkit - Pengurusan, Pencegahan dan Kawalan, di sini, semalam.

Perasmian disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan, Integrasi Nasional, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru negeri Datuk Dr Mah Hang Soon.

Hisshamuddin berkata, sebelum ini terdapat mitos dan salah faham keluarga yang mengaitkan kesan pengambilan vaksin terhadap penyakit autisme selepas satu laporan mengenainya disiarkan berasaskan kajian pada 1988, namun laporan itu ditarik balik tidak lama kemudian,

“Terdapat juga kepercayaan sesetengah keluarga Islam yang khuatir kemungkinan vaksin mengandungi DNA babi.

“Bagi menangani isu sebegini, UNIKL RCMP akan terus mempromosi perubatan berasaskan pembuktian termasuk melalui seminar seperti yang diadakan hari ini (semalam),” katanya.

Disiarkan pada: July 29, 2016 @ 7:27am
d