mutakhir

Kerajaan Melaka <br />sedia ganjaran khas

Melaka: Ganjaran khas menanti pelari pecut muda, Khairul Hafiz Jantan yang mencipta sejarah apabila memperbaharui rekod kebangsaan menerusi acara pecut 100 meter dengan catatan 10.18 saat pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak, kelmarin.

Habuan itu dijanjikan Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron ketika mengulas kejayaan anak kelahiran Kampung Berangan Enam, Umbai, Jasin, itu, sekali gus memadam rekod yang dipegang Watson Nyambek sejak 18 tahun lalu.

Idris berkata, beliau sudah berbincang dengan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Naim Abu Bakar berhubung cadangan itu dan pada dasarnya bersetuju memberi pengiktirafan serta anugerah khas kepada Khairul Hafiz.

Selain Khairul Hafiz, beberapa atlet kelahiran Melaka yang mencapai kejayaan pada SUKMA termasuk Badrul Hisyam Abdul Manap juga bakal menikmati ganjaran sama daripada kerajaan negeri.

“Perkara ini akan dibincang sebelum diputuskan dalam Mesyuarat Mingguan Exco, Rabu ini. Ganjaran berkenaan sebagai suntikan motivasi dan menggalakkan atlet untuk terus menunjukkan prestasi cemerlang demi negara dan negeri.

“Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) diharap memberi perhatian serius berhubung aspek latihan kepada Khairul Hafiz dan Badrul Hisyam,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang di Kompleks Penjara Sungai Udang, di sini, kelmarin.

Beliau berkata, perhatian serius dua badan itu dapat memastikan kekentalan bakat kedua-dua anak jati Melaka itu terus mekar, selain menjadi pembakar semangat dan galakan untuk mereka menetapkan sasaran ke peringkat lebih tinggi.

“Pada usia masih muda, saya percaya mereka mempunyai masa hadapan yang cukup cerah. Dengan rekod dicipta Khairul Hafiz itu, sekali gus menyangkal pertikaian beberapa pihak terhadap pencapaian Badrul Hisyam di Brunei,” katanya

Disiarkan pada: July 29, 2016 @ 7:48am
d