mutakhir

Macam-macam alasan

Oleh Asrizal Aris

Kuala Lumpur: “Pak Long tak ada, dia setiap malam pandu teksi ulang-alik ke Pulau Pinang,” itu alasan tidak masuk akal penghuni unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pekan Kepong, di sini, apabila pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meminta pemilik rumah terbabit menampilkan diri dalam operasi bersepadu, kelmarin.

Dalam operasi kesembilan Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti (JPPK) DBKL itu, lelaki berusia 30-an terbabit difahamkan tinggal bersama isterinya di sebuah unit PPR dipercayai disewa oleh pemilik.

Timbalan Pengarah Kanan JPPK DBKL Mohd Muzammer Jamaluddin berkata, rumah yang dihuni lelaki berkenaan antara 55 unit PPR yang diberi notis selepas didapati melakukan kesalahan penghuni tidak sah.

“Berdasarkan bancian PPR Pekan Kepong sebelum ini, sebanyak 56 daripada 937 unit didapati melanggar kesalahan penghuni tidak sah. Bagaimanapun operasi malam ini (kelmarin) berjaya mengenal pasti 55 unit dan diberi notis.

“Sebanyak 25 notis diserahkan ke tangan penghuni tidak sah manakala 30 lagi ditampal pada pintu rumah. Pemilik unit asal perlu tampil memberi penjelasan dalam tempoh 14 hari.

“Sekiranya gagal, proses untuk notis penamatan perjanjian penyewaan rumah akan dijalankan,” katanya.

Menurutnya, dalam operasi itu, enam kompaun masing-masing berjumlah RM300 dikeluarkan kepada pemilik motosikal yang melakukan kesalahan menghalang laluan dengan meletakkan kenderaan itu di kaki lima PPR terbabit.

Katanya, sepanjang sembilan operasi bersepadu, 230 notis kesalahan penghuni tidak sah sudah dikeluarkan kepada pemilik rumah manakala lapan unit rumah dirampas atas kesalahan penghuni warga asing dan 18 tangkapan penagih dadah dilakukan.

Disiarkan pada: July 30, 2016 @ 5:44am
d