mutakhir

Pampasan RM150,000

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

Tumpat: Pampasan RM150,000 diberikan kepada ahli keluarga yang kehilangan nelayan ketika menangkap ikan di laut melalui skim insurans nelayan berkelompok.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, 55,000 nelayan mencarum dalam skim insurans berkenaan dan ia dapat membela nasib keluarga jika nelayan meninggal dunia.

Katanya, sebelum ini pampasan yang diberikan berjumlah RM100,000, tetapi bermula Jun lalu, jumlahnya dinaikkan kepada RM150,000.

“Skim ini memberi perlindungan kepada keluarga nelayan jika berlaku perkara di luar jangka. Bagi nelayan yang meninggal dunia di laut, keluarga menerima RM150,000 manakala yang meninggal di darat menerima RM100,000.

“Sehingga hari ini, kita mempunyai 55,000 nelayan berdaftar dan mereka hanya perlu mencarum RM100 setahun,” katanya kepada media selepas Majlis Mesra Aidilfitri bersama petani, penternak dan nelayan, di sini, semalam.

Ahmad Shabery berkata, dianggarkan 20 hingga 30 nelayan meninggal dunia ketika menangkap ikan di laut setiap tahun.

Katanya, berikutan itu, pihak kementerian dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengambil keputusan mendaftarkan nelayan dalam skim insurans berkenaan.

“Setiap kali nelayan keluar ke laut, kita tidak tahu sama ada mereka kembali atau sebaliknya kerana ia terlalu berisiko dan kerana itu kita daftarkan mereka di bawah skim insurans nelayan berkelompok,” katanya.

Disiarkan pada: July 31, 2016 @ 5:15am
d