mutakhir

Penstrukturan semula tangani isu sempadan

Oleh Mohd Fauzi Abdullah

Temerloh: Pengumuman Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa kelmarin, berkaitan penstrukturan semula beberapa jawatan dalam agensi kerajaan adalah antara langkah segera diambil kerajaan untuk menangani pembolosan di pintu masuk sempadan berpunca daripada unsur dalaman hingga menggugat keselamatan negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan itu mengejutkan, namun ia perlu dilakukan untuk menyelesaikan masalah berkenaan secara holistik.

“Apa yang dilakukan kerajaan melalui pengumuman Tan Sri KSN adalah mengejutkan negara tetapi terpaksa dilakukan bukan disebabkan kesalahan individu yang mengetuai agensi itu,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri UMNO Bahagian Temerloh di sini, semalam.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Temerloh Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin.

Kelmarin, penstrukturan semula beberapa jawatan dalam agensi kerajaan diumumkan Ali, antaranya pelantikan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mustafar Ali sebagai Ketua Pengarah Jabatan Imigresen baru menggantikan Datuk Seri Sakib Kusmi berkuat kuasa esok.

Sakib pula akan ditempatkan di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, tanggungjawab diberikan harus dilaksanakan bukan atas nama jawatan dan bukan disebabkan individu tetapi memandang soal keselamatan sempadan serta jenayah rentas sempadan selain pelbagai aspek keselamatan secara holistik.

“Semua pihak terutama rakyat diminta tidak mengambil mudah soal keselamatan walaupun pemantauan dan penguatkuasaan dilakukan secara berterusan polis dan tentera.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) sendiri prihatin soal keselamatan kerana merasakan kesejahteraan, keselamatan dan keamanan adalah tonggak utama kepada negara supaya rakyat terus hidup selesa,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, tentera dan polis melakukan tugas baik untuk menjaga keselamatan bukan saja di daratan tetapi perairan.

“Tugas pemantauan di bawah polis marin daripada gigi air sehingga lima batu nautika. Ia disambung Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan selebihnya di bawah Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” katanya.

Disiarkan pada: July 31, 2016 @ 5:16am
d