mutakhir

Tersadai hilang jalan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Seremban: Ratusan mat rempit terpaksa berlegar-legar di dalam kawasan sebuah stesen minyak berhampiran Plaza Tol Senawang di sini, selepas lokasi perlumbaan mereka dikepung polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), awal pagi semalam.

Sebelum itu, mereka cuba merempuh kereta peronda polis dan kenderaan JPJ yang mengepung laluan itu, namun tindakan terbabit tidak berhasil menyebabkan mereka terkandas di stesen minyak berkenaan.

Taktik pihak berkuasa itu berhasil apabila 285 motosikal membabitkan 300 individu berjaya ditahan dalam Op Rempit yang dijalankan bermula jam 12 tengah malam hingga 5.30 pagi.

Pegawai Turus Trafik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan Asisten Superintendan Mohd Hafidzal Zainal Abidin berkata, operasi itu membabitkan kekuatan 77 pegawai dan anggota polis, 18 anggota JPJ dan 10 anggota Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Kita menjalankan operasi di kawasan itu selepas menerima maklumat mengenai aktiviti lumba haram kumpulan terbabit. Kita mengambil tindakan dengan mengepung semua laluan berhampiran Plaza Tol Senawang itu bagi mengelak mereka lolos.

“Hasilnya, sebanyak 285 motosikal berjaya dirampas dan 300 individu berusia 14 hingga 21 tahun ditahan. Semua yang ditahan terpaksa menolak motosikal mereka sejauh 200 meter ke pejabat JPJ untuk pemeriksaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, antara kesalahan yang dilakukan termasuk tiada lesen memandu, tiada lampu brek, tiada cermin sisi, mengubah suai kenderaan dan tidak mempamer lesen L atau P.

Mohd Hafidzal berkata, polis mengeluarkan 278 saman, manakala JPJ menyita 46 motosikal kerana tiada cukai jalan dan tamat tempoh.

“Selain itu, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun turut dikesan positif dadah, manakala dua lagi lelaki dikehendaki polis mengikut Seksyen 379A, Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri kenderaan,” katanya.

Disiarkan pada: August 1, 2016 @ 5:04am
d