mutakhir

Rabbani, Raihan sertai UZ4M<strong> </strong>

Kuala Lumpur: Kumpulan nasyid terkenal Rabbani dan Raihan akan menyertai Umrah Ziarah Empat Masjid (UZ4M) yang akan diadakan Mac tahun depan.

Ahli kumpulan Rabbani, Azadan Abdul Aziz berkata, aspek keselamatan sudah terjamin apabila kerajaan Arab Saudi memperketatkan dan menguatkuasakan keselamatan bagi mengelak berlakunya serangan pengganas.

“Pihak kedutaan Malaysia di sana (Arab Saudi) memaklumkan kepada kami berkenaan isu keselamatan dan dinasihatkan supaya tidak risau serta takut.

“Kami sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dan akan sentiasa berhubung dengan kedutaan. Insya-Allah semuanya akan selamat,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia (DPUKM) di sini, semalam.

Dalam majlis sama, pelancaran UZ4M di Kuala Lumpur, Mesir, Makkah dan Madinah yang disertai Rabbani, Raihan dan pasangan penceramah Ustaz Wan Akasyah serta Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah turut diadakan.

Program umrah itu yang dianjurkan oleh Pusat Tahfiz Darul Ulama dengan kerjasama DPUKM, Rabbani Productions Sdn Bhd dan Intra Tama Travel Consultancy Sdn Bhd akan diadakan pada 11 hingga 23 Mac tahun depan.

Menurut Azadan, sebelum program itu berlangsung, mereka juga akan mengadakan konsert dan karnival Komuniti Bestari pada Ogos ini.

“Apabila berada di Mesir nanti, kami akan mengadakan persembahan di atas kapal sepanjang Sungai Nil. Persembahan ini adalah satu pengalaman dan peluang keemasan kepada kami dan akan bekerjasama dengan pelajar di sana.

“Selain persembahan, kami juga mengadakan umrah dan aktiviti beribadah di Makkah dan Madinah,” katanya.

Sementara itu, Presiden DPUKM, Datuk Seri Abu Hassan Mohd Nor berkata, pemilihan Rabbani dan Raihan untuk menyertai program itu dibuat kerana dua kumpulan nasyid terkenal itu menjadi ahli DPUKM sejak tiga tahun penubuhannya.

“DPUKM sentiasa memberi keistimewaan dan peluang untuk ahli, malah sentiasa komited dalam membawa produk usahawan kecil ke peringkat antarabangsa.

“Setakat ini, seramai 70,000 peniaga dan usahawan kecil berdaftar dengan DPUKM,” katanya.

Disiarkan pada: August 1, 2016 @ 5:19am
d