mutakhir

Lepas belanja dapur bulan ni! [METROTV]

Oleh Azahar Hashim

Kulim: "Saya tidak tahu nak cakap apa kerana rasa bersyukur dan gembira apabila pihak Harian Metro sudi mengunjungi rumah saya sambil membawa pelbagai barangan keperluan harian yang sangat bermakna ini."

Begitu kata ibu tunggal kepada lapan anak, Sarimah Abdul Hamid, 45, dari Kampung Paya Tok Betok, Sungai Ular, di sini, apabila menerima kunjungan Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar sempena Program Titipan Kasih Harian Metro 2016 di rumah ibunya, di sini, kelmarin.

Sarimah berkata, dia bekerja sebagai pekerja pembersihan di sebuah pasar raya di Taman Selasih dengan pendapatan tidak seberapa, namun perlu menanggung tujuh anak dengan lima daripadanya masih bersekolah serta ibunya berusia 69 tahun.

Menurutnya, anak perempuannya yang berusia 24 tahun sudah berkeluarga dan tinggal berasingan, manakala anak keduanya yang berusia 23 tahun pula mencari pekerjaan.

"Dengan pendapatan RM800 sebulan, saya perlu menggunakannya dengan sebaik mungkin untuk keperluan anak-anak berusia lima hingga 23 tahun di mana lima daripadanya yang berusia 16, 14, 13, sembilan dan tujuh tahun masih bersekolah.

"Saya tidak menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan mungkin ia masih dalam perhatian kerana pernah membuat permohonan, namun saya menerima bantuan Jabatan Zakat Negeri Kedah setahun sekali," katanya.

Hadir sama, Pengarang Eksekutif (Pengeluaran/BPI) Harian Metro yang juga Pengerusi Titipan Kasih, Othman Mamat.

Pada majlis berkenaan, Sarimah turut menerima sumbangan #HMKotakRezeki 2016, selain barangan keperluan harian dan wang tunai yang diserahkan Mustapa bagi meringankan beban keluarga mereka.

Sarimah berkata, sumbangan diberikan Harian Metro bermakna bagi dirinya serta keluarga kerana bersyukur masih ada pihak prihatin dengan nasib keluarganya yang serba kekurangan.

"Bantuan diberi ini akan digunakan sebaik mungkin bagi keperluan anak-anak terutama anak bongsu (perempuan) berusia lima tahun yang masih memakai lampin pakai buang.

"Saya rasa terharu, seronok dan lega kerana sumbangan ini meringankan beban belanja barangan keperluan dapur pada bulan ini," katanya.

Menurutnya, dia mempunyai tujuh anak daripada perkahwinan pertama, namun suaminya meninggal dunia sembilan tahun lalu sebelum berkahwin kali kedua dan memperoleh dua anak, tetapi jodoh mereka tidak panjang dan berpisah sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, sebagai ibu tunggal, dia perlu tabah mencari rezeki dan membesarkan anak-anaknya supaya menjadi orang yang berjaya dan membawa keluarga keluar daripada hidup susah pada masa depan.

Disiarkan pada: August 1, 2016 @ 5:22am
d