mutakhir

Catat jualan RM10 juta

Oleh Mohamad Fahd Rahmat

Johor Bahru: Kira-kira RM10 juta nilai jualan hartanah dicatatkan sepanjang Pameran Hartanah MyRumah II yang diadakan di Komtar JBCC sejak Jumaat lalu.

Pengurus Besar Pengiklanan Jualan (Agensi) Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) (NSTP) Berhad, Roche Chew berkata, lebih 25 hartanah termasuk kediaman berjaya dijual oleh tujuh pemaju yang mengambil bahagian dalam acara itu.

Beliau berkata, permintaan rakyat setempat memiliki rumah di kawasan bandar masih tinggi berikutan pelbagai faktor termasuk tempat kerja selain kemudahan awam seperti pengangkutan dan perubatan.

“Selepas ini pameran hartanah akan berlangsung di I-City Shah Alam, Selangor, dan yakin jualan akan terus meningkat dengan lebih ramai penyertaan daripada masyarakat termasuk pemaju perumahan.

“Pada pameran kali ini, terdapat enam syarikat tidak berkaitan hartanah turut mengambil bahagian termasuk Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Bank Rakyat.

“Kami juga bertuah kerana mendapat penajaan daripada LG untuk perkakasan elektrik seperti peti sejuk dan televisyen yang dianggarkan bernilai RM20,000 sebagai cabutan bertuah,” katanya ketika ditemui selepas acara cabutan bertuah di lokasi pameran di Komtar JBCC di sini.

Sementara itu, sepasang suami isteri amat bernasib baik apabila masing-masing berjaya membawa pulang hadiah cabutan bertuah iaitu peti sejuk dan penyedut hampagas.

Pegawai kredit, Noorhazira Malek, 27, berkata kedatangannya bersama suami Mohd Fikri Firdaus, 27, ke pameran berkenaan secara kebetulan.

“Saya dan suami berjalan jalan untuk membeli-belah dan ternampak pameran ini sebelum dinasihatkan seseorang untuk mencuba nasib memasuki cabutan bertuah yang diadakan.

“Saya dan suami hanya perlu mendapatkan cop di setiap gerai dibuka di pameran ini selain membeli surat khabar terbitan NSTP dan tidak sangka kami bernasib baik,” katanya.

Seorang pemenang, Mohd Hafiz Zainal, 32, yang membawa pulang televisyen OLED berkata, dia turut hadir ke pameran berkenaan secara kebetulan sebelum memasuki cabutan bertuah yang diadakan.

Disiarkan pada: August 1, 2016 @ 8:56am
d