mutakhir

Naik taraf SRA kepada SIRAJ berperingkat

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan menaik taraf semua Sekolah Rendah Agama (SRA) di ibu negara kepada Sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI (SIRAJ) yang menggabungkan kurikulum bersepadu agama dan akademik secara berperingkat.

Dengan menggunapakai Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Kementerian Pendidikan dan Kurikulum Sekolah Rendah Agama (KSRA) JAWI, ibu bapa hanya perlu menghantar anak mereka ke sebuah sekolah saja bagi mengikuti dua kurikulum dalam satu masa.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, ketika ini terdapat dua SIRAJ yang sudah beroperasi iaitu SIRAJ Saidina Othman Affan di Bandar Tun Razak dan SIRAJ al-Alusi di Kampung Datuk Keramat.

Katanya, JAWI merancang menambah dua lagi SIRAJ tahun depan yang akan beroperasi di SRA Abu Dzar al-Ghifari, Kepong dan SRA Abdullah Ibnu Abbas, Pantai Dalam.

“Usaha ini akan berjalan berterusan dan mengambil masa. Selain integrasi silibus, kita memerlukan kepada persiapan guru dengan kaedah baru dan juga persediaan alat bantuan mengajar yang lebih banyak.

“Perancangan ini akan turut membabitkan penambahan jumlah kewangan dan beberapa perkara lain. Kita merancang mewujudkan SIRAJ sekurang-kurangnya sebuah di setiap Parlimen sebelum hasrat akhirnya semua SRA dinaik taraf menjadi SIRAJ,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan SRA al-Tabrani, di sini, semalam.

Hadir sama Ahli Parlimen Setiawangsa Datuk Ahmad Fauzi Zahari dan Pengarah JAWI Paimuzi Yahya.

SRA al-Tabrani yang bermula sebagai Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) pada 1991 dengan menumpang Surau al-Hidayah kini beroperasi di bangunan baru bernilai RM5.2 juta yang menempatkan 423 murid di 24 kelas.

Sehingga kini, terdapat 83 SRA beroperasi di Wilayah Persekutuan iaitu 73 di Kuala Lumpur dan Putrajaya serta 10 di Labuan.

Jamil Khir berkata, silibus yang digunakan di SRA dan SIRAJ lebih merujuk ke arah pembinaan sahsiah murid kerana ia menitikberatkan asas agama selain menjadi pilihan ibu bapa di ibu negara.

Katanya, beliau akan memastikan keperluan pembangunan sekolah agama di Wilayah Persekutuan sama ada dalam bentuk infrastruktur, program atau latihan diberi perhatian terutama membabitkan hal berkaitan belanja mengurus khususnya menerusi peruntukan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Disiarkan pada: August 2, 2016 @ 5:22am
d