mutakhir

Misteri rumah berbau busuk terjawab

Sungai Besar: Misteri bau busuk sejak beberapa hari lalu dari sebuah rumah di Taman Purnama 2 di sini, terjawab dengan penemuan mayat seorang warga emas yang tinggal bersendirian di kediaman berkenaan, jam 10 malam kelmarin.

Mangsa yang hanya dikenali sebagai Wak Jinal, 67, ditemui meninggal dunia di bilik tengah rumah berkenaan.

Jiran mangsa yang enggan dikenali berkata, dia hanya mengetahui mengenai kematian mangsa apabila dimaklumkan jiran lain.

“Jiran meninjau rumah mangsa melalui cermin tingkap yang tertanggal dan terkejut menemui mangsa sudah meninggal dunia. Dia kemudiannya menghubungi polis,” katanya.

Difahamkan, mangsa sudah berpisah dengan isterinya dan bekerja di bengkel membaiki kenderaan di Sungai Besar.

Sementara itu, rakan sekerja mangsa, Mohd Nur Ashraf Abdullah Bajuri, 27, berkata, kali terakhir dia bertemu arwah ialah pada 25 Julai lalu.

“Saya dimaklumkan rakan berkaitan pemergian arwah melalui aplikasi WhatsApp. Dia mengambil upah mengemas bengkel ini.

“Pada mulanya, saya sangka arwah merajuk dan enggan datang bekerja kerana dia pernah tidak hadir beberapa hari sebelum ini,” katanya.

Katanya, sepanjang mengenali arwah yang bekerja di bengkel itu kira-kira enam bulan lalu, Wak Jinal disifatkan sebagai baik hati serta mengambil berat hal rakan-rakannya.

“Arwah tidak menunjukkan perubahan tingkah laku tetapi kerap menunggang basikal sejak beberapa hari lalu.

“Biasanya arwah ke bengkel dengan motosikal tetapi sejak beberapa hari lalu, dia hanya berbasikal,” katanya.

Disiarkan pada: August 2, 2016 @ 5:24am
d