mutakhir

Pekerja asing terkawal

Oleh Siti Farahiyah Aziz

Kuala Lumpur: Bilangan pekerja asing sah dalam negara masih terkawal iaitu 14 peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga pekerja di negara ini.

Jumlah berkenaan masih dalam lingkungan sasaran ditetapkan kerajaan iaitu kuota keseluruhan 15 peratus bagi tenaga pekerja asing.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Mutalib berkata, kerajaan memastikan jumlah terbabit dikawal dan tidak melepasi kuota sasaran itu.

“Setakat ini, daripada jumlah keseluruhan 14 juta tenaga kerja, dua juta tenaga pekerja asing yang sah bekerja dalam sembilan sektor termasuk perladangan, pembinaan, keselamatan dan pembantu rumah.

“Kerajaan sentiasa memberi keutamaan pekerjaan kepada rakyat tempatan dan akan melakukan yang terbaik bagi memastikan kuota keseluruhan 15 peratus itu dikekalkan secara berterusan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Menteri Sumber Manusia bersama Pelanggan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini, semalam.

Ismail berkata, kerajaan juga sudah melaksanakan pelbagai pendekatan proaktif seperti mempergiatkan latihan kemahiran kepada belia menerusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) selain menggerakkan penguatkuasaan untuk menghantar pekerja asing tanpa izin (PATI) pulang ke negara asal bagi memastikan sasaran 15 peratus ini tidak melebihi kuota.

“Kami akan mengambil pekerja asing dan ia bergantung kepada permintaan semasa daripada majikan dan pelbagai sektor industri di Malaysia.

“Selain itu, kerajaan juga menyasarkan 35 peratus tenaga kerja tempatan berkemahiran tinggi menjelang 2020 di bawah Rancangan Malaysia Ke-11,” katanya.

Menurutnya, setakat ini negara hanya mempunyai 28 peratus tenaga kerja tempatan berkemahiran tinggi dan pihaknya berharap lebih banyak belia menceburi bidang pekerjaan berkemahiran tinggi bagi merealisasikan hasrat kerajaan.

Disiarkan pada: August 2, 2016 @ 5:48am
d