mutakhir

Ikrar lori kosong konon

Alor Setar: Tanda tanya terhadap lori tangki yang diikrarkan ‘kosong’ membongkar cubaan menyeludup pelbagai jenis rokok putih dan minuman keras dianggarkan bernilai RM1.4 juta termasuk cukai dalam serbuan di Pelabuhan Jeti Kargo Kuala Kedah, di sini.

Dalam pemeriksaan jam 10.10 pagi Isnin lalu, sepasukan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah menemui barangan berkenaan dalam empat ruangan dalam tangki lori yang tiba menggunakan khidmat ponton dari Pulau Langkawi.

Pengarah JKDM Kedah, Datuk Abd Latif Abdul Kadir berkata, anggota kastam yang mencurigai sesuatu menunggu hampir sejam, namun tiada pihak tampil mengambil lori tangki berkenaan.

Beliau berkata, berikutan itu mereka mengambil keputusan menahan lori tangki yang diuruskan ejen perkapalan yang mengendalikan perkhidmatan ponton mengangkut kenderaan dari Kuala Kedah ke Langkawi.

“Pihak kastam menggunakan alat pengimbas untuk memeriksa lori tangki berkenaan sebelum mendapati ada imej mencurigakan di dalamnya sebelum menemui pelbagai jenis rokok putih dan minuman keras yang belum lulus kastam.

“Berikutan itu, kastam merampas 1,630,000 rokok pelbagai jenis dengan berat 163 kg bernilai RM163,000 di samping cukai berjumlah RM942,873.60

“Selain itu, minuman keras pelbagai jenama sebanyak 1,669.80 liter bernilai RM171,106 membabitkan cukai RM208,630.05 turut dirampas untuk siasatan,” katanya pada sidang media di Kompleks Kastam Negeri, di sini, semalam.

Abd Latif berkata, pihaknya percaya kegiatan itu dilakukan lebih daripada dua kali apabila mengikrar lori sebagai kosong dalam modus operandi mereka.

“Jika dilihat secara kasar, kita nampak lori tangki itu seperti kosong, tetapi isi kandungan lori berkenaan sebenarnya mengandungi barang tanpa lulus kastam apabila menggunakan alat pengimbas.

“Pada masa ini, kami menjalankan siasatan ke mana barangan terbabit diedarkan dan percaya minuman keras itu dipercayai untuk dijual di sekitar kelab malam, di sini,” katanya.

Disiarkan pada: August 2, 2016 @ 5:53am
d