mutakhir

'Alhamdulillah, doa saya makbul'

Alor Gajah: “Sekembalinya ke tanah air daripada bertugas pada musim haji 2009, saya kerap berdoa memohon Allah memberikan satu lagi peluang ke Tanah Suci, sekali gus menunaikan haji buat kali kedua.

“Alhamdulillah, doa saya dimakbulkan. Saya bersama beberapa pegawai Jabatan Kesihatan Melaka dipilih untuk memberikan perkhidmatan kesihatan kepada jemaah haji Malaysia di Makkah dan Madinah kali ini,” kata Rosman Jonid, 45.

Penolong Pegawai Perubatan itu bersyukur selepas dipilih Jabatan Kesihatan Melaka untuk membantu Tabung Haji (TH) memberikan perkhidmatan kesihatan kepada jemaah Malaysia sepanjang musim haji tahun ini.

Pada 2009, Rosman bertugas di Jabatan Ortopedik, Hospital Melaka menggunakan peluang menunaikan ibadat haji ketika berada di Tanah Suci Makkah dan Madinah selama 56 hari.

“Kali ini kami tidak diberitahu berapa lama berada di Makkah dan Madinah. Insya-Allah apabila tiba di Makkah, barulah kami diberitahu mengenai butirannya termasuk lokasi penugasan,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri Kampung Londang, Masjid Tanah, di sini, kelmarin.

Bapa kepada empat anak itu berlepas bersama petugas lain ke Jeddah melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Rosman berkata, sejak kembali daripada menjalankan tugas dan menunaikan haji pada 2009, dia sering terbayang keindahan Kaabah dan pengalaman manis menunaikan ibadah haji bersama petugas TH dan kira-kira tiga juta jemaah haji seluruh dunia.

“Baitullah asyik bermain di fikiran saya selepas kembali ke tanah air, tiada tempat lain yang lebih indah melainkan Makkah dan Madinah. Kali ini, Allah memberikan peluang kedua kepada saya,” katanya.

Isterinya, Norsaiyah Omar, 45, berkata, dia bersyukur kepada Allah kerana menjemput suaminya menunaikan ibadah haji walaupun pemergiannya adalah atas kapasiti petugas Jabatan Kesihatan.

“Saya berdoa suami dapat menjalankan tugas membantu memberikan rawatan kesihatan jemaah haji dan turut berpeluang menunaikan haji dengan selamat,” katanya.

Disiarkan pada: August 2, 2016 @ 6:46am
d