mutakhir

Didakwa sokong pengganas

Klang: Seorang pekerja kilang dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas pertuduhan memberi sokongan kepada perbuatan pengganas membabitkan penggunaan bahan letupan di sekitar daerah ini antara Mac hingga Julai lalu.

Tertuduh, Jonius Ondie@Jahali, 24, yang berpakaian cerah mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di depan Majistret Mariam Maran Abdullah@Lusia Muda Maran.

Bagaimanapun, tiada pengakuan daripada tertuduh direkodkan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memberi sokongan kepada perbuatan pengganas membabitkan penggunaan bahan letupan dengan niat untuk melanjutkan satu perjuangan ideologi dan menggugut orang awam di Malaysia menerusi aplikasi Telegram.

Perbuatan itu dilakukan di Bandar Armada Putra, Pulai Indah, di sini, antara 25 Mac hingga 1 Julai lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 130J (1)(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas harta yang digunakan untuk tujuan kesalahan berkenaan.

Disiarkan pada: August 3, 2016 @ 7:14am
d