mutakhir

Dokumentari Ulama Nusantara bakal disiar TV3, MetroTV

Jakarta: Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) dan anak syarikatnya, Primeworks Studios menyokong inisiatif Khazanah Nasional Berhad (KNB) dan Yayasan Hasanah iaitu sebuah yayasan kelolaan KNB menghasilkan dokumentari 13 episod berjudul Ulama Nusantara.

Pengerusi MPB Datuk Seri FD Iskandar berkata, dokumentari terbabit berkisar mengenai penyebaran Islam di kepulauan Melayu serta tokoh yang bertanggungjawab dalam penyebaran itu di rantau ini sejak 1,400 tahun lalu.

“Dokumentari ini dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersama rakan sejawatnya, Presiden Indonesia Joko Widodo pada Forum Ekonomi Islam Dunia 2016 (WIEF 2016), semalam.

“Ia akan disiarkan di TV3 (sebahagian rangkaian Media Prima) di Malaysia dan MetroTV di Indonesia yang dihasilkan oleh Primeworks Studios dengan kerjasama Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios Ahmad Izham Omar.

Beliau berkata, Ulama Nusantara berkongsi maklumat bagaimana Islam berkembang di kepulauan Melayu melalui laluan rempah sehingga mampu mengintegrasikan masyarakat tempatan terutamanya melalui pendidikan serta kebudayaan.

“Pengkaji dari tiga universiti terkemuka Indonesia iaitu Universitas Islam Negeri (UIN) Syarif Hidayatullah, Jakarta, Universitas Islam Negeri (UIN) Imam Bonjol, Padang dan Universitas Islam Negeri (UIN) Ar Raniry, Banda Aceh antara yang diundang bagi memainkan peranan penting dalam penghasilan dokumentari ini.

“Beberapa pengkaji sejarah ternama dari Indonesia turut berkongsi maklumat penting bagi melengkapkan dokumentari ini termasuk Prof Dr Azyumardi Azra dan Prof Dr Oman Fathurahman dari Universitas Islam Negeri (UIN) Syarif Hidayatullah, Jakarta,” katanya.

Katanya, seramai 14 pengkaji dan penilai yang diketuai Dekan Fakulti Pengajian Islam UKM, Prof Dr Wan Mujani menapis dan meneliti setiap rekod lama bagi mencari sebarang maklumat yang menerangkan bagaimana Islam tersebar di rantau ini.

“Episod pertama dokumentari yang mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan ini dijangka akan menemui penonton bermula Oktober depan,”katanya.

Disiarkan pada: August 3, 2016 @ 7:32am
d