mutakhir

Taska enggan daftar sumbat budak macam tin sardin

Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengesan terdapat pengusaha Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) dan pusat jagaan kanak-kanak yang enggan berdaftar kerana ingin menempatkan seramai mungkin kanak-kanak di premis mereka sehingga padat seperti ‘tin sardin’.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, mengikut Akta Pusat Jagaan Kanak-Kanak 1984, pengusaha perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan seperti mempunyai nisbah pengasuh sepadan dengan umur kanak-kanak dan jumlah jagaan mereka selain keluasan premis yang sesuai.

“Ada tempat yang kita jumpa susun budak macam dalam tin sardin, hal ini membabitkan nyawa.

“Orang yang nak dapatkan perkhidmatan ini mereka bayar dan bukan percuma, kalau percuma sekali pun mereka tidak akan ambil risiko ini.

“Sebab itulah ada terjadi kes tersedak susu, sebab mereka ambil mudah contohnya jam 12 tengah hari semua kanak-kanak diberi susu,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Logo Baharu Institut Sosial Malaysia (ISM), Perasmian Taska ISM dan Jalinan Mesra Aidilfitri 2016 di ISM, di sini, semalam.

Hadir sama Timbalannya Datin Paduka Chew Mei Fun, Ketua Setiausaha KPWKM Dr Rose Lena Lazemi dan Pengarah ISM Dr Al-Azmi Bakar.

Rohani berkata, sehingga Jun tahun ini terdapat 4,240 Taska dan 1,650 pusat jagaan yang berdaftar dengan kementerian dan 750 lagi dalam proses pendaftaran.

Katanya, sejak 2014 hingga kini sebanyak 152 tindakan undang-undang dikenakan ke atas pengusaha Taska dan pusat jagaan kanak-kanak yang melakukan pelbagai kesalahan iaitu disita (enam), ditutup sementara (lapan), dikompaun (23), arahan bertulis atau amaran (36), dibatalkan pendaftaran (69).

Beliau berkata, kebanyakan kes pengabaian dan penderaan kanak-kanak berlaku di Taska dan pusat jagaan kanak-kanak tidak berdaftar serta tidak mengikut SOP ditetapkan.

Disiarkan pada: August 3, 2016 @ 7:34am
d