mutakhir

Kalam suci

Oleh Fuad Hadinata Yaacob

Shah Alam: Program World #QuranHour yang akan diadakan serentak di seluruh dunia pada 11 September depan selama sejam mulai jam 9 pagi adalah usaha memupuk umat Islam supaya berpegang teguh dengan ajaran al-Quran.

Dalam program kali pertama itu, seluruh umat Islam serata dunia disaran membaca, menghayati, memahami seterusnya mengamalkan ayat suci al-Quran.

Sehingga kini, 117 negara, pelbagai persatuan dan gabungan badan bukan kerajaan (NGO) memberi maklum balas positif untuk menyertai program itu selain turut menjangkakan penyertaan 57 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Lapan juta umat Islam di India juga akan bersama-
sama membaca al-Quran dalam tempoh berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas Marhaini Yusoff berkata, edisi sulung World #QuranHour itu akan diadakan di lokasi utama iaitu Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak dengan sasaran kehadiran 6,000 orang.

Beliau berkata, pada masa sama, 14 negeri lain turut menganjurkannya di lokasi tertentu membabitkan gabungan pelbagai pihak termasuk individu dan berkumpulan.

Menurutnya, 11 September dipilih kerana ia jatuh pada 9 Zulhijah
iaitu ketika Padang Arafah di Makkah menjadi tumpuan jemaah haji.

“Dalam kempen Earth Hour, seluruh dunia bergelap selama sejam namun dalam program ini, kita membuka al-Quran, membaca dan berinteraksi dengan kitab suci ini.

“Selama ini kita baca tetapi mungkin ada yang tidak mengetahui maksudnya dan program ini mengajak kita membaca, memahami seterusnya mengamalkan ayat suci al-Quran,” katanya pada Majlis Penerangan World #QuranHour, semalam.

Dalam program itu, pelbagai agensi media tempatan antaranya Kumpulan Media Prima Berhad termasuk Harian Metro, Berita Harian dan New Straits Times selain agensi lain seperti Radio Televisyen Malaysia, Astro, TV Al Hijrah, Kumpulan Utusan, BERNAMA dan Kumpulan Media Karangkraf menyatakan komitmen menjayakannya.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, program itu adalah kesinambungan kepada kejayaan kempen #MalaysiaNgaji yang dianjurkan sejak 2013.

Disiarkan pada: August 3, 2016 @ 7:36am
d