mutakhir

Malaysia, Filipina, Indonesia sepakat

Kuala Lumpur: Malaysia, Indonesia dan Filipina sepakat untuk bersama-sama meningkatkan kawalan dalam usaha menangani cabaran maritim dan keselamatan serantau membabitkan ketiga-tiga negara ini.

Persetujuan itu dicapai pada pertemuan Menteri Pertahanan ketiga-tiga negara itu di Bali, Indonesia, semalam, yang memberi fokus kepada masalah serantau.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussien dalam kenyataannya berkata, pertemuannya dengan Menteri Pertahanan Indonesia Jeneral (R) Ryamizard Ryacudu dan Setiausaha Pertahanan Filipina Secretary Delfin N. Lorenzana adalah untuk membincangkan cabaran keselamatan terutamanya di kawasan maritim yang mempunyai kepentingan bersama untuk ketiga-tiga negara.

Katanya, mesyuarat Trilateral itu dijalankan mengikut prinsip kesamarataan ASEAN, kepercayaan, menghormati kedaulatan, integriti wilayah dan tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman antara satu sama lain serta semangat kejiranan.

“Kami juga mengulangi pendirian untuk memerangi keganasan dan ekstrimis termasuk Daesh dan mengutuk segala serangan dan tindakan pengganas yang memberi impak kepada seluruh dunia.

“Selain daripada itu, kami juga membincangkan mengenai kebimbangan beberapa kejadian rompakan bersenjata dan culik di perairan oleh kumpulan radikal di kawasan maritim,”katanya.

Hishammuddin berkata, mereka sepakat dengan komitmen dan keperluan untuk tindak balas secara kolektif daripada tiga negara untuk menangani ancaman terbabit.

“Saya menyambut baik Rangka Trilateral Kerjasama yang ditandatangani pada 14 Julai lalu di Jakarta dan bersetuju menggalakkan penggunaan Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk Rondaan Maritim dan Memberi Bantuan Segera, Garis Panduan Operasi berkenaan perkongsian maklumat dan perisikan serta Pelan Komunikasi Gabungan,”tegasnya.

Disiarkan pada: August 4, 2016 @ 6:13am
d