mutakhir

Tidak izin jamin pelajar

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas tuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 1,425.65 gram, Julai lalu.

Terdahulu, tertuduh yang berusia 17 tahun dari Kampung Kedai Buluh, di sini, mengangguk faham ketika pertuduhan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama dibacakan di hadapan Raja Norshuzianna Raja Mamat.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar methamphetamine seberat 1,425.65 gram (berat kasar) di sebuah rumah di Kampung Kedai Buluh, di sini, jam 11 pagi, 25 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan sebelum Raja Norshuzianna Shakila menetapkan 4 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Mahkamah juga tidak membenarkan sebarang jaminan ditawarkan kepada tertuduh.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asyraf Minhad.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang pelajar lelaki yang juga calon SPM dipercayai pengedar pil kuda di sekitar kawasan Kuala Terengganu dan Chendering, di sini, ditahan bersama 12,900 pil kuda yang dianggar bernilai RM193,500 di sebuah rumah di Kampung Dalam Kedai Buloh, di sini.

Pelajar itu ditahan dalam satu serbuan jam 11 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu hasil risikan dan maklumat dibuat sejak tiga bulan lalu.

Disiarkan pada: August 5, 2016 @ 9:53am
d