mutakhir

Pekerja syak unsur khianat

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Seremban: “Dua hari lalu, ada seorang lelaki dipercayai warga asing datang ke restoran meminta wang namun dia marah apabila kami tidak memberi wang kepadanya,” kata seorang pekerja lelaki sebuah premis perniagaan di Taman Mutiara Galla, di sini.

Peristiwa itu dikaitkan dengan kejadian kebakaran restoran berkenaan yang beroperasi di taman itu, awal pagi semalam, dipercayai mempunyai unsur khianat dan sengaja dibakar individu tidak bertanggungjawab.

Dia enggan dikenali berkata, kejadian berlaku jam 3.40 pagi hanya disedari beberapa pekerja premis berhampiran, sebelum mereka menghubungi bomba.

Menurutnya, api dipercayai bermula dari bahagian dapur restoran sebelum merebak ke hadapan premis, namun kepantasan bomba tiba di lokasi berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke premis bersebelahan.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 Md Munawir Md Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan jam 3.49 pagi sebelum menggerakkan dua jentera bersama sembilan anggota ke lokasi.

“Restoran itu musnah 70 peratus, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Bahagian forensik bomba dan polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kejadian itu mempunyai unsur jenayah atau khianat.

Disiarkan pada: August 5, 2016 @ 10:01am
d