mutakhir

Bersama banteras jenayah

Oleh Hayati Ibrahim

Bangkok: Usaha menangani keganasan terutama kumpulan Daish dan isu keselamatan rentas sempadan termasuk memburu penjenayah Malaysia yang bersembunyi di Thailand adalah antara lima perkara utama yang dibincangkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam mesyuarat dua hala di sini, semalam.

Beliau berkata, kerjasama itu perlu kerana ada dalam kalangan penjenayah Malaysia yang bersembunyi di Thailand sejak pelaksanaan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA), Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) dan pelancaran Ops Cantas Khas 2.0 untuk memburu penjenayah secara habis-habisan.

“Saya ingin menumpukan kepada soal kerjasama bagi menangani isu ini kerana ada dalam kalangan penjenayah dari Malaysia yang menggunakan Thailand untuk melindungi diri sejak penguatkuasaan undang-undang itu.

“Ini bukan saja dibincangkan tetapi dari kerjasama yang sudah dilaksanakan ketika ini serta melihat kaedah yang boleh dilakukan antara pihak berkuasa Malaysia dan Thailand,” katanya pada sidang media sempena lawatan kerja dua harinya ke Bangkok, Thailand yang bermula semalam.

Hadir sama Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Nazirah Hussein dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pihaknya juga mengetahui ada dalam kalangan mereka yang menganggotai Daish menjadikan Thailand sebagai tapak untuk bergerak ke Malaysia.

Malah, katanya ada juga di antara mereka yang bergerak dari Malaysia ke Thailand untuk ke negara ketiga.

“Jadi, beberapa kaedah tertentu melalui pertukaran maklumat risikan dan isu membabitkan operasi antara kedua-dua negara perlu ditingkatkan bagi menangani isu itu,” katanya.

Katanya, beliau akan memaklumkan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) sudah dinaik taraf sebagai sebuah jabatan dengan memperkasakan peranan polis melalui agensi ini bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JDKM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Lembaga Kenaf dan Tembakau serta Jabatan Imigresen.

“Kami juga akan berbincang mengenai isu penyeludupan manusia memandangkan Thailand dijadikan negara transit kegiatan itu di Malaysia sehingga menyebabkan Laporan Pemerdagangan Orang yang dikeluarkan Jabatan Negara Amerika Syarikat yang mengekalkan Malaysia di tahap kedua.

“Masalah ini bukan dari Malaysia tetapi negara sumber, jadi Thailand mungkin boleh membantu untuk menyelesaikan masalah ini secara bersama,” katanya.

Disiarkan pada: August 5, 2016 @ 10:14am
d