mutakhir

Permudah capaian data pesakit

Oleh Safar Ahmad

Madinah: Lembaga Tabung Haji (TH) melakukan beberapa penambaikan bagi meningkatkan keupayaan perkhidmatan teknologi maklumat (IT) di Tanah Suci tahun ini.

Antaranya termasuk menyambung rangkaian bagi akses maklumat perubatan jemaah bagi melancarkan proses rawatan pesakit.

Pengarah Operasi Teknologi Maklumat Operasi Haji Tanah Suci Shahidan Ishak berkata, pada tahun ini unit IT Tanah Suci membuat sambungan akses maklumat perubatan dengan dua bahagian utama iaitu Pusat Panggilan TH dan Pusat Maklumat Operasi (PMO).

Katanya, kedua-dua unit ini boleh melihat butiran jemaah yang dibenarkan saja sebagai contoh lokasi jemaah dirawat dan tarikh kemasukan ke wad.

“Ini adalah penambaikan yang kami buat iaitu memastikan informasi dalam sistem perubatan dapat diakses oleh dua bahagian tadi.

“Jadi keluarga boleh tahu di mana jemaah menerima rawatan dan sebagainya,” katanya pada sidang media di Pejabat Hal Ehwal Jemaah Haji Malaysia di Hotel Dar Al-Jefri, di sini, kelmarin.

Shahidan berkata, bagi memastikan proses komunikasi berada pada tahap memuaskan, pihaknya melanggan perkhidmatan talian dengan empat pembekal utama tempatan iaitu STC, Mobily, Zain dan iGO.

Katanya, jika berlaku sebarang bencana, pihaknya akan memastikan semua pengurus maktab dapat mengakses talian dengan baik.

“Jika ada jemaah yang cedera pula kita mahu memastikan rekod perubatan mereka dapat diakses dengan cepat.

“Semua sistem data di Tanah Suci dapat diakses di tanah air secara langsung dan waktu sebenar,” katanya.

Pada tahun ini, TH menempatkan 20 petugas merangkumi pakar daripada rangkaian, sistem dan aplikasi di tiga lokasi utama jemaah iaitu Makkah, Madinah dan Jeddah.

Unit IT menggunakan empat sistem utama Tanah Suci iaitu sistem haji, kewangan, sistem maklumat bersepadu dan sistem perubatan (Sihat) yang akan digunakan petugas perubatan.

Di samping itu, TH juga ada beberapa aplikasi sistem yang diguna pakai dan diberikan kepada jemaah haji antaranya sistem indoor digital multimedia (IDM) dan TV info haji yang mana perkhidmatan ini membolehkan jemaah mendapatkan maklumat terkini berkenaan perkara penting ketika operasi haji dan juga semua maklumat ibadah disalurkan melalui medium ini.

Disiarkan pada: August 5, 2016 @ 10:23am
d