mutakhir

Ayah daftarkan haji diam-diam

Oleh myMetro

Kelana Jaya: “Saya tidak menyangka ayah mendaftar nama untuk menunaikan haji ketika saya berusia lapan tahun, malah saya hanya mengetahui usaha murni ayah itu selepas menerima tawaran mengerjakan haji pada tahun ini.

“Lebih manis lagi, saya dapat mengerjakan rukun Islam kelima ini bersama ibu bapa yang turut sama berlepas dalam penerbangan pada hari ini (semalam),” kata jemaah haji muda, Syed Ahmad Saibani Abdul Hakim, 17, ketika ditemui di Kompleks Tabung Haji (TH), di sini, semalam.

Menurut Syed Ahmad Saibani yang berasal dari Jasin, Melaka, sebagai anak tunggal dia sememangnya menyimpan impian untuk ke tanah suci bersama ibu bapanya apatah lagi mereka sudah lama mendaftar dengan TH.

“Tak sangka rupanya ayah mendaftar nama saya secara senyap-senyap selain turut menyimpan untuk saya. Alhamdulillah rezeki kami sekeluarga tahun ini,” katanya.

Ditanya mengenai persediaan mengerjakan ibadah itu, sebagai pelajar sekolah tahfiz, dia bersyukur mempunyai kelebihan kerana sudah terbiasa dengan rukun dan amalan haji yang diajar di sekolah.

“Tambahan pula, TH menyediakan kursus untuk bakal jemaah, justeru ia memberi keyakinan kepada saya untuk mengerjakannya,” katanya.

Sementara itu, bagi warga emas, Sabiah Abdul Hamid, 71, penantian selama sembilan tahun selepas bersara dan mendaftar menggunakan wang dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akhirnya tercapai selain simpanan setiap bulan yang diberikan anaknya.

“Sejak kecil saya menyimpan impian ke Tanah Suci selepas melihat ayah ke sana menaiki kapal ketika saya berusia 12 tahun namun pemergian saya kali ini tidak ditemani suami sebaliknya bersama sahabat baik yang juga jiran di Ipoh.

“Belum rezeki suami untuk ke sana apatah lagi kesihatannya juga tidak mengizinkan tetapi saya berdoa agar dia juga dapat ke sana nanti,” katanya.

Semalam, seramai 450 jemaah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Madinah jam 4 petang ini menggunakan pesawat Boeing 747-400, SV5401 milik Saudia Airlines.

Disiarkan pada: August 5, 2016 @ 10:27am
d