mutakhir

Beri botol basah kepala elak panas

Oleh myMetro

Kelana Jaya: Selain dibekalkan sebotol penyembur air bagi menyejukkan badan sepanjang berada di tanah suci Makkah, pasukan petugas perubatan juga akan menyembur badan dan kepala jemaah sekiranya suhu terlampau panas.

Ketua pasukan petugas perubatan penerbangan kedua, Noor Azman Sharif, 39, berkata, mereka sentiasa bersedia memberi bantuan perubatan sama ada bagi jemaah yang diserang strok haba atau sebarang kemalangan sepanjang mengerjakan haji di sana.

“Memang dijangka suhu melebihi 40 darjah Celsius dan kemungkinan mampu mencecah 50 darjah Celsius, namun jemaah sudah sedia maklum dan diberikan taklimat berhubung cuaca dan keadaan di sana.

“Mereka juga dinasihatkan untuk kerap minum air dan tidak terlalu terdedah dengan cuaca panas yang boleh menyebabkan strok haba,” katanya.

Katanya, petugas haji juga dibekalkan sebotol penyembur bagi menyembur badan dan kepala jemaah sekiranya suhu terlalu tinggi.

“Kami juga difahamkan, tahun ini kerajaan Arab Saudi menyediakan kipas yang lebih banyak ketika wukuf di Arafah bagi mengatasi masalah ini,” katanya.

Disiarkan pada: August 5, 2016 @ 10:32am
d