mutakhir

Praktik modul baru Silang Budaya di sekolah

Shah Alam: Bagi mengukuhkan lagi semangat patriotisme dan perpaduan kaum, satu modul baru Silang Budaya bakal dipraktikkan di semua sekolah di seluruh negara sebagai subjek pembelajaran atau kokurikulum.

Modul yang diilhamkan sejak 2014 itu berjaya dihasilkan menerusi kerjasama antara Kementerian Pendidikan, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) serta Universiti Putra Malaysia (UPM).

Ia berteraskan hubungan kesederhanaan untuk mengeratkan lagi hubungan kepelbagaian kaum, seterusnya menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat terutama generasi muda.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup berkata, cadangan itu bagaimanapun akan dibentangkan terlebih dulu pada mesyuarat Kabinet ‘away day’ Isnin ini.

“Ia diharap menjadi garis panduan kepada semua sekolah (sekolah rendah dan menengah) untuk mendidik pelajar atau murid mengenai kepelbagaian kaum yang ada di negara ini. Mereka perlu memikirkan semua kaum mempunyai kebudayaan tersendiri yang perlu sentiasa dihormati.

“Usul yang akan dibincangkan di Kabinet antaranya menerapkan modul baru itu ke sekolah. Ia bagaimanapun akan diperincikan secara lebih mendalam kelak,” katanya selepas merasmikan penutupan Kem Silang Budaya di Kem Bumi Jati, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah JPNIN Datuk L Gandesan, Penolong Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan Roslan Shaarip, Naib Canselor UPM Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UPM Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.

Disiarkan pada: August 6, 2016 @ 10:04am
d