mutakhir

Tanam sayur

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Kuala Lumpur: Warga kota khususnya penduduk di 56 Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) sekitar ibu negara digalakkan menyertai program Kebun Kejiranan yang bukan saja dapat mengindahkan kawasan penempatan, malah turut membantu mengawal impak karbon.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abdul Aziz berkata, pelaksanaan projek menghijaukan kawasan terbiar itu mempunyai peranan penting membantu mengawal impak karbon iaitu peningkatan suhu akibat pembangunan dan kepadatan penduduk di ibu negara.

Katanya, projek berkenaan salah satu program di bawah Local Agenda 21 Kuala Lumpur (LA2 KL) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang membabitkan tiga pihak berkepentingan iaitu masyarakat setempat, kerajaan serta sektor swasta.

“Projek kebun kejiranan ini adalah aktiviti pertanian yang dijalankan di kawasan kejiranan dengan diusahakan secara bersama oleh komuniti setempat.

“Kerjasama itu bukan saja dapat menzahirkan pembangunan lestari, malah turut membantu mewujudkan persekitaran yang selesa, selamat dan harmoni.

“Selain itu, ia turut membantu mewujudkan aktiviti sihat serta menyatukan komuniti, kerajaan dan swasta dalam menjayakan program untuk memakmurkan kehidupan warga kota,” katanya berucap pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Rakan Perkongsian Pintar Kebun Kejiranan LA21 KL di ibu negara, semalam.

Pada majlis berkenaan, DBKL menandatangani MoU dengan 15 rakan kongsi program berkenaan iaitu Kazz Agro Valley Sdn Bhd, Kebun Komuniti Subur, Persatuan Penduduk PPR Kg Baru Air Panas, PPR Seri Semarak, PPR Intan Baiduri, Kampung Muhibbah Blok A, B, C, D dan Permaufakatan Ibu Bapa Prihatin Sentul.

Turut terbabit dalam projek itu adalah Persatuan Pembangunan Sosioekonomi Wanita, Persatuan Lestari Alam Malaysia, Persatuan Pengusaha Taska Berdaftar, Free Tree Society, IMU Education Sdn Bhd, KLCSI Venture Sdn Bhd, Kelab Kebun Bandar serta Persatuan Penduduk Sunway SPK Damansara.

Sementara itu, Penyelaras Projek Bandaraya Bersih dan Indah LA21KL Khairul Anuwar Mohd Juri berkata, pelaksanaan program kebun kejiranan terbabit adalah salah satu usaha dalam misi menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya bersih dan indah menjelang 2020.

Disiarkan pada: August 6, 2016 @ 10:06am
d