mutakhir

Elak tragedi

Oleh Zairee Mohd Yasak

Melaka: Seramai 145 peniaga di Pasar Besar Melaka Sentral akan dipindahkan ke lokasi berhampiran bagi mengelak ditimpa kejadian tidak diingini akibat mendapan tanah yang menjejaskan sebahagian struktur bangunan itu.

Peniaga itu sebahagian daripada 345 peniaga yang masih berniaga di lokasi berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan Dan Alam Sekitar negeri Datuk Ismail Othman berkata, langkah itu diambil memandangkan struktur bangunan berkenaan terjejas teruk.

“Semua peniaga itu akan ditempatkan di pasar sementara berhampiran Pasaraya Kip Mart, Bachang yang jaraknya 2.2 kilometer dari lokasi perniagaan sekarang sebaik semua kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik siap dipasang.

“Bangunan pasar itu akan diroboh bagi membolehkan kerja pengukuhan tanah dijalankan sebelum bangunan baru dibangunkan,” katanya selepas merasmikan Program Mengibarkan Jalur Gemilang di Graha Makmur, Ayer Keroh di sini, semalam.

Sebelum itu, Ismail menyertai perhimpunan pagi Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang dihadiri Datuk Bandar MBMB Datuk Zainal Hussin dan lebih 200 kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Pasar dua tingkat itu dirasmikan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 1 Mei 2004. Ia dibina di atas bekas tapak sawah padi yang struktur tanahnya daripada tanah liat menyebabkan berlaku pergerakan tanah.

Ismail berkata, hasil kajian Institut Kerjaraya Malaysia (IKRAM) mendapati bahagian kanan bangunan itu terjejas teruk mengakibatkan beberapa tiang bangunan peroi akibat beban tekanan yang berlebihan.

“Tiang sokongan dipasang pada tiang yang terjejas teruk. Masalah akan jadi lebih besar jika struktur cerucuk bangunan turut terjejas akibat gerakan tanah,” katanya.

Disiarkan pada: August 6, 2016 @ 10:13am
d