mutakhir

Jururawat maut sehari sebelum hari jadi

Gerik: Seorang jururawat lelaki maut selepas Perodua Viva dipandunya terbabit kemalangan dengan lori di Kilometer 67, Jalan Kuala Kangsar-Gerik, dekat Kampung Malau, Lawin,
di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, Muhamad Firdaus Kaus yang bertugas di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan bakal menyambut ulang tahun kelahirannya ke-28 esok, maut di tempat kejadian manakala pemandu lori, Chang Chuah Kew, 34, parah selepas tersepit
di tempat duduk pemandu.

Ketua Polis Daerah Gerik Superintendan Jamalani Mohd Isa berkata, siasatan awal mendapati mangsa dari Kuala Kangsar dan dalam perjalanan pulang ke kampungnya di Gerik, sebelum hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung lori berkenaan.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Gerik untuk bedah siasat.

“Pemandu lori yang parah dihantar ke HRPB untuk menerima rawatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya ketika dihubungi semalam.

Disiarkan pada: August 6, 2016 @ 10:20am
d