mutakhir

Sebak tinggal ibu

Oleh Asmah Rusman

Kelana Jaya: Kehadiran tiga beradik yang memakai beg sandang bertulis Jemaah Haji Malaysia berwarna kuning mencuri tumpuan orang ramai yang berada di ruang menunggu Kompleks Tabung Haji, di sini, selepas mereka dilihat berjalan beriringan masuk ke kaunter perdaftaran jemaah.

Ketiga-tiga jemaah terbabit, Muhammad Asyreen Halim, 17, bersama dua abangnya, Muhammad Asyrif, 18, dan Muhammad Asyraf, 22, dilihat sebak ketika bersalaman dan berpelukan dengan kedua ibu bapa yang menghantar mereka berlepas dengan penerbangan KT05, petang semalam.

Menurut Muhammad Asyraf yang juga anak sulung pasangan Halim Paimin, 51, dan Asmah Abdullah, 50, perasaan mereka bercampur baur antara sedih, gembira dan teruja selepas menerima tawaran mengerjakan haji tahun ini.

“Kali pertama menunaikan haji apatah lagi diberi peluang ketika usia muda pastinya sesuatu yang sangat berharga kepada kami bertiga.

“Perasaan berdebar itu tetap ada kerana ini bukan perkara main-main, namun dengan restu dan doa ibu bapa, kami percaya dapat mengerjakan Rukun Islam kelima ini dengan yakin dan sepenuh hati,” katanya.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu, Muhammad Asyreen berkata, peluang itu digunakan sebaiknya untuk melakukan ibadah, selain berdoa untuk mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal didudukinya tahun ini.

“Alhamdulillah dapat berdoa sendiri di depan Kaabah walaupun saya perlu bercuti sekolah dan tertinggal kelas, namun saya berdoa agar semua berjalan dengan lancar,” katanya.

Sementara itu, Asmah berkata, sebagai ibu pastinya hatinya berdebar untuk berjauhan dengan ketiga-tiga anaknya dalam tempoh yang lama.

Katanya, doa dan restunya sebagai seorang ibu sentiasa mengiringi anaknya ke Tanah Suci supaya mereka dapat melaksanakan ibadah haji dengan sempurna dan mendapat haji mabrur.

“Saya yakin doa ibu itu mustajab, sebab itu saya tidak begitu bimbang untuk melepaskan mereka pergi ke sana,” katanya.

Menurutnya, selain pernah menjejakkan kaki ke Makkah untuk mengerjakan umrah, ketiga-tiga anaknya itu diberikan ilmu dan kursus yang lengkap mengenai ibadah terbabit.

Menurutnya, dia turut memohon menangguhkan pengajian bagi anak sulung dan anak keduanya yang belajar di politeknik bagi membolehkan mereka pergi mengerjakan haji.

“Pihak pengurusan politeknik memahami perkara itu dan kedua-duanya boleh mendaftar masuk selepas kembali ke tanah air nanti,” katanya.

Disiarkan pada: August 6, 2016 @ 10:27am
d