mutakhir

Minta upah tak patut

Oleh Muhammad Apendy Issahak

Ipoh: Bekas Eksekutif Perundangan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Perak didakwa dengan 15 pertuduhan di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, kerana menipu 15 individu pada Mei 2012 hingga April 2014.

Tertuduh, GMN Go Koo Laram, 65, didakwa menipu mangsa membabitkan kerugian RM4,500 dengan meminta wang sebanyak RM300 sebagai bayaran guaman sedangkan perkhidmatan YBGK adalah percuma.

Dia didakwa dengan 14 pertuduhan utama mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dengan 14 pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 417 kanun sama selain satu tuduhan utama mengikut Seksyen 417 kanun sama.

Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan itu di Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam di Jalan Dato’ Maharajalela, di sini, dengan memperdayakan mangsa untuk mempercayai bahawa bayaran RM300 dikenakan bagi mendapatkan khidmat bantuan guaman YBGK.

Go Koo Laram yang diwakili peguam Kathan Maruthamuthu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim S Indra Nehru.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Wahidah Jalalluddin yang meminta mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM3,000 bagi setiap pertuduhan kerana kesalahan mengikut Seksyen 420 adalah serius.

Kathan meminta mahkamah memberi jaminan minimum RM1,000 setiap pertuduhan atas alasan tertuduh mempunyai beberapa penyakit kronik termasuk kencing tidak lawas hingga terpaksa memakai lampin pakai buang dan masalah mental yang cenderung membunuh diri kerana tekanan.

Indra Nehru menetapkan wang jaminan sebanyak RM1,800 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin serta 28 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 420 kerana menipu, tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh didenda, manakala mengikut Seksyen 417 pula penjara maksimum lima tahun atau denda atau keduanya jika sabit kesalahan.

Disiarkan pada: August 6, 2016 @ 10:32am
d