mutakhir

3 beranak maut kereta rempuh penghadang jalan

Johor Bahru: Seorang ibu dan dua anak maut selepas kereta dinaiki hilang kawalan dan merempuh penghadang jalan di Jalan Bukit Impian, Taman Impian Emas, Skudai, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.05 malam itu, Suriani Musa, 44, bersama anaknya, Mohamad Syakir Shamsudin, 11, dan Mohamad Saufi, 8, maut
di tempat kejadian.

Dua lagi anaknya, Mohamad Syauqi, 19, dilaporkan cedera parah, manakala Mohamad Syazwan, 21, yang memandu Proton Satria mengalami cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, kejadian berlaku apabila kereta dinaiki mangsa hilang kawalan sebelum melanggar penghadang jalan dan pokok di lokasi kejadian.

“Kejadian berlaku ketika lima beranak yang beralamat di Taman Sri Pulai dalam perjalanan dari Skudai ke Kempas.

“Tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua lagi cedera dan kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

“Mayat mangsa dihantar ke HSA untuk bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati kemalangan tidak membabitkan kenderaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: August 7, 2016 @ 12:06pm
d